Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Timbalannya Ir Cheremi Tarman bergambar bersama kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas menerima anugerah MIP Planning Excellence Awards (MIPPEA2022) di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Projek bebas karbon, seni MBSA raih anugerah, suntik semangat beri khidmat terbaik

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima tiga anugerah kecemerlangan daripada Pertubuhan Perancangan Malaysia (MIP) pada 16 Januari lalu.

Menurut ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya anugerah MIP Planning Excellence Awards (MIPPEA 2022) itu diterima dalam majlis di Hotel Majestic Kuala Lumpur.

Shahrin Ahmad berkata anugerah ini merupakan penghargaan kepada projek yang cemerlang dan berinovasi dalam perancangan, reka bentuk dan pembangunannya serta memberi faedah kepada orang ramai.

“Dua daripada anugerah tersebut adalah Anugerah Perak bagi tajuk Pelan Tindakan Shah Alam Bebas Karbon 2035 (Kategori Bandar) dan Setia Alam Impian ‘Kehidupan Berinspirasikan Seni’ (Kategori Rekaan Cemerlang).

“Satu lagi ialah Anugerah Gangsa bagi tajuk Perancangan Strategik Tempatan Untuk Pelaporan Antarabangsa (Kategori Perancangan Strategik),” katanya.

Beliau memberitahu, anugerah diterima Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Timbalannya Ir Cheremi Tarman.

“Penganugerahan ini diharap dapat menyuntik semangat dan dorongan kepada MBSA untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada komuniti dan para pemegang taruh,” katanya.


Pengarang :