Aksi pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia ketika sesi latihan menjelang Kejohanan PETRONAS Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Terbuka Malaysia: Naraoka tewaskan Zii Jia di pusingan pertama

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Pemain badminton lelaki utama negara Lee Zii Jia hari ini terpaksa berhadapan satu lagi kekecewaan di Terbuka Malaysia, selepas tewas pada pusingan pertama ketika berhadapan pemain Jepun Kodai Naraoka.

Zii Jia selaku pemain nombor dua dunia, bermula dengan baik apabila memang 21-13 pada set pertama, namun pemain berkedudukan ketujuh dunia itu berjaya menyamakan kedudukan selepas menang 21-17 pada set kedua.

Selepas perlawanan sengit pada set ketiga, Naraoka, 21, yang berjaya mengatasi Zii Jia dengan kemenangan 21-19 dalam masa satu jam dan 12 minit itu, akan berhadapan seorang lagi pemain negara Ng Tze Tong, pada peringkat seterusnya, esok.

Zii Jia juga mengalami nasib yang sama di Terbuka Malaysia sebelum ini.

Selain kekalahan beliau pada pusingan kedua kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia Shesar Hiren Rhustavito tahun lepas, beliau juga tewas dalam pusingan pertama kepada pemain Thailand Suppanyu Avihingsanon pada edisi 2019.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, juara All England 2021 itu berkata beliau terpaksa menerima kepada permulaan yang buruk untuk musim 2023, namun berharap akan dapat melakukan yang lebih baik selepas ini.

“Saya rasa faktor angin itu lebih mencabar, sama bagi semua pemain, manakala Kodai lebih berkelebihan untuk perlawanan ini, kerana dia lebih bersabar dan bertahan.

“Ini adalah jalan yang saya pilih (untuk beraksi tanpa jurulatih), sama ada baik atau tidak, saya kena terima, tidak menyesal. Buat masa ini, Liew Daren akan terus kekal sebagai jurulatih,” kata Zii Jia kepada media selepas kekalahan itu.

Zii Jia pada ketika ini dibimbing rakannya Daren, selepas Indra Wijaya berhenti melatihnya November tahun lepas.

Bercakap mengenai Terbuka India yang bermula minggu hadapan, beliau berkata tidak terdapat banyak perkara yang boleh diperbaiki dalam tempoh beberapa hari, namun mahu belajar daripada kesilapannya bagi melakukannya dengan lebih baik.

Terdahulu, Tze Yong tidak berhadapan banyak masalah bagi mengatasi pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-4, 21-10.

“Bagi saya, ini bukan perlawanan yang senang, saya fokus mata demi mata, dan berjaya kawal angin lebih baik berbanding beliau, untuk menang. Naraoka pemain yang bagus, apa yang saya boleh janji, saya akan bagi cabaran esok,” kata Tze Yong.

– BERNAMA


Pengarang :