Seramai 128 pemain yang menyertai Kejohanan Golf Amal Yayasan Islam Darul Ehsan (KGA Yide) bergambar bersama di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 14 Januari lalu. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide kumpul lebih RM400,000 sempena golf amal, dana bina asrama anak yatim

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 JAN: Lebih RM400,000 dikumpulkan sempena Kejohanan Golf Amal Yayasan Islam Darul Ehsan (KGA Yide) yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 14 Januari lalu.

Pengerusinya berkata kejohanan golf edisi ke-4 bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah sekali gus merealisasikan hasrat Yide untuk menguruskan kompleks anak yatim sendiri.

“Sebanyak 128 pemain golf daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, syarikat-syarikat swasta, pemaju hartanah, anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan orang awam menyertai kejohanan ini.

“Tahniah kepada Mohd Hafiz Jaafar dari Omnix Sdn Bhd yang muncul juara kejohanan kali ini,’’ kata Tan Sri Mazlan Mansor dalam kenyataannya kelmarin.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Yusoff (tengah) menyampaikan hadiah kepada juara Kejohanan Golf Amal Yayasan Islam Darul Ehsan Mohd Hafiz Jaafar (kiri) dari Omnix Sdn Bhd yang juga Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Selayang di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 14 Januari lalu. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan

Menurut Mazlan, Yide merakamkan setinggi penghargaan kepada penyumbang dana iaitu Northport Malaysia sebanyak RM 30,000, RMS Synergy Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Original Kayu Nasi Kandar, Pancar Bakti Sdn Bhd dan Omnix (M) Sdn Bhd masing-masing RM10,000 serta Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (RM7,000).

Turut menyumbang OSG Security, Aiman Platanium Sdn Bhd, Suasa Efektif Sdn Bhd, MEP Meeting & Exhibition Planners Sdn Bhd, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Tetuan Khamdan & Co masing-masing RM5,000.

“Yide juga berterima kasih kepada Central Sugars Refinery Sdn Bhd yang menyumbang RM212,000 untuk program Back To School baru-baru ini. Semoga syarikat-syarikat yang telah menyalurkan dana dapat terus menyumbang kepada Yide pada masa depan,’’ katanya.

Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah akan menempatkan 200 anak-anak yatim serta fakir miskin lelaki dalam satu-satu masa dan bakal menjadi sebuah kompleks termoden di Selangor dengan kos pembangunan berjumlah RM11 juta.

Setakat ini sebanyak RM8.5 juta sumbangan telah dikumpulkan bagi tujuan pembinaan asrama berkenaan.

Orang ramai juga boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan yide.com.my/infaq-kompleks-anak-yatim/


Pengarang :