Kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan operasi pembersihan longgokan sampah haram di tepi Jalan Kampung Tengah Gombak pada 15 Februari 2023. Foto Facebook PENYELARAS DUN GOMBAK SETIA
AGENSISELANGOR

Operasi dilaksana MPS dan KDEBWM atasi isu sampah haram, legakan penduduk

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Operasi pembersihan dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram di tepi Jalan Kampung Tengah, Gombak dekat sini.

Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata operasi dilaksanakan kedua-dua agensi itu kelmarin melegakan penduduk terutama mereka menggunakan laluan di kawasan itu yang terganggu selama ini.

“Terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa namun penduduk berharap pemantauan dilakukan secara berterusan agar isu pembuangan sampah haram ini dapat dibanteras.

“Kita dapati masalah ini disebabkan segelintir peniaga warga asing yang membuang sampah domestik termasuk sisa buah-buahan dan binaan termasuk rangka motosikal. Perkara ini serius kerana selain pencemaran, limpahan sampah masuk ke bahagian jalan,” kata Din Yahaya ketika dihubungi Selangorkini.

Dalam operasi itu, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) MPS dan KDEBWM Bahagian Gombak telah menggunakan tiga tong Roll On Roll Off (RORO) bagi membersihkan longgokan sampah tersebut.

Tindakan memasang tali penghadang serta kain rentang larangan membuang sampah turut dibuat bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan mereka.


Pengarang :