Lokasi kejadian mayat seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa korban keempat banjir di Johor selepas ditemukan meninggal dunia di tepi longkang di Batu Anam pada 3 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Johor: Mayat wanita warga emas ditemukan tepi longkang

SEGAMAT, 4 MAC: Seorang wanita warga emas menjadi mangsa korban keempat banjir di Johor selepas ditemukan meninggal dunia di tepi longkang di Batu Anam, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata mangsa berusia 68 tahun itu ditemukan jirannya selepas dilaporkan tidak berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tah Kang, Gemas Baharu, di sini.

Menurutnya, mangsa yang tinggal seorang diri di Batu Anam itu, ditemukan berhampiran rumahnya yang turut dinaiki air banjir.

“Mangsa ditempatkan di PPS itu tetapi jiran mendapati dia tiada dan mencari sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita itu.

“Kita akan siasat kenapa mangsa keluar dari PPS dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, di sini, malam tadi.

Kamarul Zaman berkata setakat ini, empat mangsa korban banjir telah direkodkan di Johor dengan satu di Kluang dan tiga di Segamat.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir yang melanda negeri ini.

Beliau juga mengingatkan keadaan cuaca hujan masih berlaku di negeri ini sekali gus memberi ‘ancaman’ banjir walaupun hujan tidak lebat.

“Lebih 4,000 anggota polis dikerahkan bagi operasi banjir sekitar Johor dan kita turut menerima bantuan daripada Pasukan Gerakan Am dan agensi keselamatan lain,” katanya.

Kamarul Zaman berkata setakat 10 malam tadi, 20 laluan sekitar negeri ini masih ditutup untuk semua jenis kenderaan manakala 11 laluan masih dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

– BERNAMA


Pengarang :