Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk Saidatu Akhma Hassan dibantu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim menanam anak pokok buah matoa simbolik merasmikan Dusun Bandar@ Taman Kosas dan sambutan Hari Landskap Negara peringkat MPAJ 2023 di Ampang Jaya pada 29 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ belanja RM748,800 bina koridor hijau, kemudahan di Dusun Bandar@Taman Kosas

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 29 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membelanjakan RM748,800 bagi membina landskap koridor hijau dan jaringan kemudahan di Dusun Bandar@Taman Kosas di sini.

Yang dipertuanya berkata projek yang siap sepenuhnya pada September lepas menggunakan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selain penanaman pokok buah-buahan seperti jambu air, durian musang king, dokong dan mata kucing, kita turut membina pelbagai kemudahan lain seperti wakaf, taman permainan kanak-kanak, laluan pejalan kaki dan lampu taman.

“Kita tumpu jadikan lokasi ini kondusif dan sesuai untuk pelbagai peringkat umur selain ia juga aktif digunakan penduduk setempat sebagai tempat senamrobik dan Tai Chi,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas majlis perasmian taman berkenaan di sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk Saidatu Akhma Hassan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim menyerahkan cek curan dan sijil kepada pemenang pertandingan kebun komuniti selepas majlis perasmian Dusun Bandar@Tamam Kosas dan sambutan Hari Landskap Negara peringkat MPAJ 2023 di Ampang Jaya pada 29 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Saidatu Akhma Hassan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan kebun komuniti.

Turut dirasmikan pada majlis berkenaan adalah sistem e-pokok melalui kerjasama dengan Arboribus Database Sdn Bhd.

“Sebanyak 3700 pokok telah ditanda dan didaftarkan dalam sistem e-pokok MPAJ. Sistem informatif ini boleh diakses orang ramai menerusi imbasan kod QR pada plat yang dipasang,” katanya lagi.


Pengarang :