Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Runding semula perjanjian alam sekitar, salur dana lebih kepada JAS

SHAH ALAM, 16 MAC: Perjanjian bersama konsesi swasta berhubung isu alam sekitar berjumlah RM952 juta, yang dimeterai pada 2017 perlu dirunding semula berikutan dilihat tidak efektif.

Wakil rakyat Puchong Yeo Bee Yin berkata syarikat yang dilantik sepatutnya bertanggungjawab melapor status kualiti alam sekitar dan memberi amaran awal jika berlaku pencemaran.

Bagaimanapun, beliau mendakwa perjanjian itu tidak mencapai objektif berdasarkan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Johor selain tidak banyak membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kurang lima peratus tindakan JAS berasal dari laporan amaran syarikat ini. Mengapa bayar berjuta setiap tahun kepada syarikat yang tidak capai objektif?

“JAS pula tidak dapat sokongan kewangan setiap tahun untuk lakukan tugas kawal pencemaran,” katanya ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Bekas menteri alam sekitar berkata pihaknya pernah berunding isu tersebut pada 2019, namun tidak dapat diselesaikan berikutan perubahan tampuk pimpinan kerajaan.

“Saya baca perjanjin konsesi ini dan banyak ruang rundingan semula sekurang-kurangnya jimat RM20 juta setahun. Harap menteri (Nik Nazmi Nik Ahmad) buat rundingan semula dan penjimatan salur kepada JAS untuk perkasa jabatan itu,” katanya.


Pengarang :