Syarida Sharif (dua, kiri) bercakap pada program Simposium Ibu Bapa ANIS 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bekas penerbit tidak sesal tinggal kerjaya demi anak autisme

SHAH ALAM, 28 MEI: Melepaskan kerjaya selesa tidak membuatkan ibu kepada dua anak istimewa berasa menyesal bahkan bersyukur dapat melihat mereka membesar depan mata.

Bekas penerbit eksekutif sebuah stesen televisyen tempatan yang berkongsi kisah itu menegaskan tindakan beliau empat tahun lalu merupakan keputusan tepat.

Syarida Sharif, 44, yang mempunyai empat anak lelaki berkata beliau berhenti kerja selepas mendapati anak bongsunya Dzamer Dzia Agi, 11, yang menghidap autisme kategori 3 tidak boleh mengawal emosi di tempat awam.

Berbeza dengan anak sulungnya, Dzart yang turut menghidap autisme tetapi dalam kategori 1, katanya, ketika itu beliau masih boleh bekerja dan banyak belajar dan mengkaji bagi membantu perkembangan anaknya itu.

“Sukar untuk dikongsikan tetapi apa yang membuatkan saya memilih untuk berhenti kerja adalah selepas anak bongsu ketika itu dia sedang membuat rawatan intervensi, ketika itu dia telah bermain dengan najisnya sendiri sehingga satu bilik terapi itu dipenuhi najis.

“Tindakannya itu membuatkan saya terfikir sampai bila perlu bekerja…saya rasa sudah tiba masanya jaga anak saya sendiri, urus mereka dan Alhamdulillah suami juga menyokong tindakan ini,” katanya.

Anak Istimewa, Raees Aryan Ezmir membuat persembahan muzik ketika forum Simposium Ibu Bapa ANIS 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bukan satu perkara mudah memandangkan keputusan itu dibuat ketika kewangan beliau dan suami kurang kukuh namun demi anak Syarida tidak berfikir panjang dan laluinya dengan tenang.

Rezeki tidak salah alamat, ketika masalah kewangan membelenggu mereka, beliau berjaya menerima bantuan khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi rawatan intervensi anak bongsunya itu.

“Dapat tahu bantuan ini daripada sahabat saya, syukur permohonan lulus dan terima kasih sangat kepada Kerajaan Selangor kerana mewujudkan inisiatif ini kerana seperti kita tahu rawatan intervensi memang memerlukan kos yang amat tinggi,” katanya.

Beliau turut berkongsi amalan untuk kuatkan diri dan semangat dalam membesarkan anak istimewa dengan membaca al-Quran selain mengelak lisan daripada menyebut perkataan negatif selain mental perlu sihat.

“Memang mencabar untuk kita membesarkan anak istimewa ini tetapi saranan saya kita perlu mengelak sebut perkataan letih, tertekan, putus asa insya-Allah dengan amalan ini ia banyak beri kekuatan pada saya dalam membesarkan anak syurga ini,” katanya.

Irin Putri Azmi

Sementara itu, personaliti televisyen yang juga ibu kepada seorang anak autisme, Irin Putri Azmi bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan iaitu keluarga yang banyak membantunya dalam membesarkan anak istimewa itu.

“Memang pernah terlintas mahu berhenti kerja tetapi keperluan kewangan sangat penting sekiranya tidak kukuh mungkin akan beri kesan kepada tumbesaran anak saya yang memerlukan rawatan.

“Alhamdulillah, saya dan suami tinggal sekali dengan ibu bapa, jadi tiada masalah untuk saya membahagikan masa kerja dan keluarga. Saranan saya kita jangan putus asa dan sentiasa menyokong anak istimewa ini dengan apa sahaja minat mereka,” katanya yang memiliki dua anak lelaki.

Terdahulu, mereka ditemui selepas menjadi moderator dan panelis bagi forum Cabaran Ibu Bapa Dalam Membesarkan Anak Istimewa menerusi Simposium ANIS 3.0 di Pusat Konvensyen IDCC di sini semalam.


Pengarang :