Wantanee Tippaveth dan suaminya, Methi Chinpha dijatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun selepas didapati bersalah menipu jutaan dolar daripada lebih 2,000 mangsa menerusi skim cepat kaya pada 10 Mei 2023. Foto Facebook Báo Phụ Nữ
AGENDAGLOBAL

Suami isteri dipenjara 12,640 tahun, tipu 2,000 mangsa melalui skim cepat kaya

BANGKOK, 11 MEI: Mahkamah Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun terhadap suami isteri yang didapati bersalah menipu jutaan dolar daripada lebih 2,000 mangsa menerusi skim cepat kaya.

Bagaimanapun, Mahkamah Jenayah Thailand menukar tempoh hukuman mereka kepada 5,056 tahun kerana Wantanee Tippaveth dan suaminya, Methi Chinpha, mengaku melakukan jenayah itu pada 2019.

The Bangkok Post melaporkan, kedua-duanya bagaimanapun dijangka berada dalam penjara selama dua dekad kerana undang-undang kerajaan yang mengehadkan jumlah penjara mereka kepada 20 tahun setiap seorang.

Ketika perbicaraan, mahkamah dimaklumkan pasangan itu, bersama tujuh individu lain, menjemput orang ramai melalui Facebook antara Mac hingga Oktober 2019, untuk melabur dalam skim simpanan yang didakwa menawarkan pulangan 93 peratus.

Untuk meyakinkan orang ramai, Wantanee kerap menyiarkan video dalam talian mengenai barang kemas kononnya dimiliki beliau, lapor Berita Harian.

Polis berkata, ia adalah taktik menggambarkan gaya hidupnya yang mewah bagi membantu menarik minat mangsa untuk melabur dalam skim berkenaan.

Katanya, beberapa mangsa melaburkan seluruh simpanan dan rumah mereka, malah ada yang dilaporkan cuba membunuh diri selepas kehilangan harta benda.

Pendakwa raya berkata, sembilan tertuduh dalam kes itu tidak melabur wang yang diamanahkan kepada mereka, sebaliknya ia dibahagikan antara mereka.

Pendakwa raya mendakwa semua sembilan individu berhubung kes itu dengan pelbagai tuduhan penipuan, namun hanya Wantanee dan Methi didapati bersalah, manakala yang lain dibebaskan kerana kekurangan bukti. – AGENSI


Pengarang :