BUDAYARENCANA

Mencari kemaafan diri: Iktibar daripada ‘Bayang’ karya Amir Jahari

 

Oleh Ratu Yousei

Setelah jelak dengan dendangan suara jiwang Taylor Swift, saya mendapati diri asyik mengulangi lagu-lagu Amir Jahari, khususnya album kedua beliau Siang dan Malam. Album tersebut merupakan antara kegemaran saya kerana membincangkan persoalan-persoalan yang berkait rapat dengan krisis eksistensial yang melepak di ruang pemikiran sejak kebelakangan ini, tidak seperti Taylor yang hanya menggalakkan lumrah hati untuk meroyan sebab lelaki.

Dari renungan tentang kewujudan Tuhan hingga penemuan erti kehidupan dalam hubungan cinta sesama insan, Amir banyak mengajar saya untuk lebih menghargai perjalanan fana ini yang akhirnya akan menemukan saya dengan Sang Pencipta jua.

Lagu yang paling menarik perhatian saya untuk membuat sedikit kupasan lirik adalah lagu kelima dalam senarai iaitu “Bayang”. Dalam “Bayang”, Amir menyanyikan tentang sebuah kemaafan yang paling sukar untuk dilakukan orang: memaafkan kesilapan sendiri. Ia hampir mustahil kerana ego dalam diri manusia yang takut akan peringatan masa silam, peringatan bahawa dirinya pernah kecundang sehingga menyakiti orang di sekelilingnya. Beliau menggambarkan diri lama manusia yang berdosa itu sebagai bayang-bayang, sebuah lembaga yang mencerminkan bentuk serta gerak-gerinya dan sentiasa mengikutinya ke mana sahaja dia pergi.

Ada pepatah bahasa Inggeris yang berbunyi: “Maafkan dan lupakan. (Forgive and forget)” Kata-kata ini disebut-sebut seakan peraturan hidup yang mudah dipatuhi. Namun, realiti sebenar adalah sebaliknya, lagi-lagi dalam perihal dosa sendiri. Dalam konteks diri sendiri, yang biasa dituruti hanyalah separuh kedua daripada nasihat tersebut iaitu untuk melupakan. Manusia mudah lupa, tidak seperti gajah yang mengingati segala apa ia saksi dan alami. Manusia juga berasa malu.

Pernahkah anda, ketika bermain Twitter sambil meniarap di atas lantai kamar, tiba-tiba terkenang memori yang sudah lama anda tidak fikirkan? Ia mengingatkan tentang suatu peristiwa di mana anda telah berlaku cringe lalu anda pun menepuk dahi, menutup muka yang mula kemerahan seperti tomato ranum, walaupun tiada seorang yang ada bersama anda pada masa itu.

Disebabkan rasa malu yang hebat, manusia lebih cenderung untuk melupakan kenangan buruk yang pernah dilaluinya tanpa usaha untuk memaafkan diri. Meskipun begitu, kita tidak akan dapat melarikan diri selama-lamanya kerana dosa lama persis bayang, sentiasa bersama kita sama ada kita tampak atau tidak. Seperti bayang dalam kegelapan malam, mungkin seseorang mampu melupakan sesuatu kesalahannya buat seketika, namun syuruk tetap akan tiba, mendedahkan semula segala dosa yang sentiasa ada walau di luar penglihatan kita.

Manusia memang tidak akan dapat melupakan kesalahannya, jadi kenapa kita masih cuba melakukan demikian? Mungkin sebab susah untuk kita meneruskan kehidupan kalau asyik teringat kepada kesilapan seperti yang dinyanyikan Amir: “Kauhancurkan segala citaku. Kaubiar kumerana jatuh.”

Cubaan melupakan segala kecundangan tidak akan berbuah hasil, malah kita sebaliknya perlu sentiasa mengingatinya lalu memaafkan diri. Hanya dengan memaafkan diri sendiri dapat kita menangani peringatan dosa dengan lebih produktif kerana dengan mengingati dan menginsafi perbuatan lama, kita dapat mengambil pengajaran untuk memperbaiki diri. Dalam “Bayang”, Amir menunjukkan pendengar cara untuk memaafkan diri, bermula dengan menerima masa silam: “Bayang, kuingin kenalimu. Bayang, tunjukkanlah dirimu.”

Dari awal lagi, beliau berani untuk berdamping dengan diri yang lama kerana setiap usaha untuk suatu tamadun bergerak ke hadapan perlu bermula dengan pemahaman sejarahnya. Samalah kita. Tanpa mengenali sejarah yang telah membawa kita ke titik ini, kita tidak akan berjaya memajukan diri. Maka beliau pun menekankan kita untuk menerima masa silam sebagai sebahagian daripada diri ketika menjelaskan yang bayang “menyerupai wajahku, tak bermaya kaku.”

Beliau juga menyampaikan bahawa kita hanya dapat melepaskan diri daripada perbuatan lama dengan menjadikannya pedoman: “Kan kulepaskan dirimu, bebas tuk menegurku.” Rasa bersalah dalam diri hanya akan lupus apabila kita mengganyang gari yang menghalang diri daripada melangkah ke dunia baharu, dunia di mana kita menjadi manusia yang lebih baik.

Inilah satu-satunya cara untuk kita mengatasi resah ketika berhadapan dengan dosa-dosa terdahulu yang mengekang diri daripada memaju, dengan sentiasa memberi ruang kepadanya untuk membimbing kita dalam usaha memperbaiki diri.

Lagu “Bayang” meninggalkan pendengar dengan satu pesan, yang kita tidak dapat terpisah daripada diri kita yang lama: “Aku takkan hilang darimu. Kutakkan pergi darimu. Kita adalah satu untuk selama-lamanya.” Dalam erti kata lain, manusia dibentuk oleh peristiwa yang dialaminya dan segala tindakannya pada masa akan datang dipengaruhi oleh pengalaman hidup tersebut.

Akan tetapi, hal ini bukan bermakna yang sejarah buruk hanya akan melahirkan masa depan buruk, bahkan manusia dianugerahi oleh Tuhan kemampuan untuk memilih jalannya sendiri. Bilamana kita betul-betul memahami punca kesilapan kita, kita akan lebih mengetahui cara untuk tidak mengulanginya. Kita juga akan menjadi lebih peka terhadap kesannya kepada orang di sekeliling lantas menjadi insan yang lebih sensitif terhadap perasaan manusia lain.

Akhir kata, “Bayang” karya Amir Jahari membincangkan tema kemaafan buat diri dengan menjadikan bayang-bayang sebagai simbol diri lama yang kecundang. Beliau mengajar pendengar untuk tidak terus takut akan kesilapan masa dahulu, malah mengajaknya untuk berani bersemuka bersama bayangnya dan mengenali dosa-dosa yang telah dilakukannya. Hanya dengan melakukan demikian, dapat kita membebaskan diri daripada rasa bersalah yang membebankan dan menghalang diri daripada menjadi insan yang lebih baik untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup.

Kendatipun agak susah bagi kita mencari kekuatan untuk memaafkan diri sendiri, saya selalu teringat kepada Puyi, maharaja terakhir dinasti Qing. Puyi yang dahulu berlaku zalim terhadap pembantunya serta mengkhianati rakyatnya dengan menjadi pemimpin boneka Jepun di daerah Manchuria, akhirnya bertaubat di bawah usaha didikan Parti Komunis China untuk membuktikan sesiapa sahaja mampu kembali ke jalan yang benar. Beliau menghabiskan masa di hujung usia dalam keinsafan dan banyak berusaha untuk menebus kesalahannya. Jika orang seperti Puyi boleh berlaku demikian, kenapa tak kita? Oleh itu, maafkanlah diri sendiri agar dapat menjadi bahagia, bak pesan Amir dalam lagu lain: “Usah dikau bersedih lagi kerana kita tetap akan pergi dari dunia ini. Ada saja tak pasti maka tersenyumlah.”


Pengarang :