Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bendera kepada ketua cabang AMK dan Ketua Wanita Cabang KEADILAN pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita KEADILAN Selangor di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gerak gelombang merah kuning demi kestabilan, kemakmuran Selangor

KUALA SELANGOR, 10 JUN: Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu menggerakkan gelombang merah kuning demi kestabilan dan kemakmuran Selangor.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor berkata gelombang merah kuning itu memerlukan tekad bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan rakan kongsi Barisan Nasional (BN) serta parti lain.

“Parti pembangkang menggunakan cara propaganda dan penipuan, tetapi kita ada fakta, senjata serta alat untuk menyusun, cuma perlu ikhtiar dan usaha yang akan tentukan kemenangan.

“Saya harap malam ini (malam tadi) jentera tekad kumpulkan kekuatan bersama rakan-rakan HARAPAN dan rakan kongsi dari BN serta parti lain untuk bentuk satu gelombang.

“Pembangkang nak bawa gelombang hijau tetapi Selangor merah kuning. Kita gerakkan satu arus gelombang supaya rakyat terima merah kuning dan tolak hijau untuk kestabilan, kemakmuran serta kemaslahatan Selangor,” ucap Dato’ Seri Amirudin Shari pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Selangor malam tadi.

Pada majlis pelancaran yang diadakan di Padang Awam Kampung Permatang, Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN menggesa jentera tidak lagi menoleh dan terus membantu mempertahankan Selangor.

“AMK bersedia dan wanita diharap sudah bergerak. Jangan menoleh, hentikan perbezaan dan lupakan persengketaan kerana perlu maju untuk mempertahan Selangor daripada dirampas mereka yang rakus.

“Pertahankan Selangor dengan perkukuh jentera, Insha-Allah dengan izin Selangor kekal kukuh di bawah HARAPAN dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.


Pengarang :