AGENDAJENAYAH

Tiga remaja lelaki ditahan bantu siasatan kes pukul gelandangan

SHAH ALAM, 5 JUN: Polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul individu dipercayai gelandangan menggunakan besi pemukul besbol di bawah jambatan sekitar Pelabuhan Klang, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata ketiga-tiga suspek yang berusia 16 tahun itu ditahan di sekitar Klang, bermula 3 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau selain polis turut merampas tiga telefon bimbit serta sebuah kereta Proton Wira untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati terdapat tiga kejadian melibatkan mangsa berbeza dan polis sedang berusaha mengesan mangsa tersebut.

“Pihak polis juga dalam usaha mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata Mahkamah Majistret Klang membenarkan kesemua suspek direman tiga hari sehingga Rabu ini dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :