Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bergambar bersama pemenang bagi pusingan akhir Liga Usahawan OKU Malaysia di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur pada 27 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cacat fizikal bukan halangan Ikon Usahawan OKU cipta kejayaan

Oleh AZIAN AZIZ

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Pernah disahkan doktor tidak boleh berjalan lagi dan kedai terbakar antara dua ujian dilalui juara Ikon Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) ini.

Namun berkat kesabaran dan sokongan daripada keluarga Nor Zaidah Ab Rahman, 48, bukan sahaja bangkit semula dalam perniagaan malah dapat berjalan semula selepas tujuh tahun berkerusi roda.

Malah peserta Liga Usahawan OKU Malaysia itu semakin dikenali selepas produk tanjaknya laris hasil bimbingan jurulatih Selangor Youth Community (SAY) selama 18 bulan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama Liga Usahawan OKU Malaysia Nor Zaidah Abd Rahman di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur pada 27 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Saya tidak boleh berjalan akibat kecederaan serius di kedua-dua kaki dalam kemalangan selepas kereta yang saya pandu bertembung dengan treler pada 27 April 2010.

“Walaupun hampir putus asa selepas disahkan tidak boleh berjalan dan berstatus OKU, saya jalani 13 pembedahan dan fisioterapi sehinggalah saya boleh berdiri dan berjalan walau tidak boleh lama pada 2017,” kata ibu kepada lima anak itu.

Peniaga dari Pekan Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu yang memiliki kedai makan dan kedai jahit juga pernah diuji apabila kedainya terbakar pada 2014.

“Hanya Allah SWT tahu betapa sedihnya saya namun saya bina semula kedai dalam keadaan sakit serta mempelbagaikan perniagaan jahitan dan mula menjahit tanjak termasuk tanjak mini yang dijadikan rantai kunci pada 2019.

“Pada 2022 saya menyertai kursus Liga Usahawan OKU Malaysia (SAY Lead Pro) untuk bimbingan perniagaan selain diberi geran RM3,000. Alhamdulillah kini saya meraih pendapatan bulanan sehingga RM15,000,” ujarnya yang menerima piala, sijil dan geran perniagaan RM2,000.

Anugerah Ikon Usahawan disampaikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Hotel Sunway Putra semalam.

Kisah pemenang tempat kedua Ikon Usahawan, Lailatol Mawar Mohd Nor, 47, hampir sama dengan Nor Zaidah.

Ibu tiga anak dan usahawan jahitan kraf itu turut mengalami kecacatan fizikal akibat kemalangan jalan raya kerana terlelap (mikrosleep) pada 2016 dan terpaksa berkerusi roda selama tiga tahun.


Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang kedua Liga Usahawan OKU Malaysia, Lailatol Mawar Mohd Nor di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur pada 27 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Lebih menyedihkan apabila saya dikesan menghidap barah rahim pada 2018.

“Namun berkat ketabahan dan sokongan keluarga saya boleh berjalan dan kini sembuh sepenuhnya daripada barah,” katanya yang menetap di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Lailatol Mawar berkata beliau kemudian mengikuti kursus SAY Lead Pro dan berjaya menghasilkan beg tangan batik jenama sendiri yang kini bakal berkembang dengan bantuan SAY dan agensi kerajaan berkaitan.


Pengarang :