Jari seorang pengundi dicelup dakwat ketika membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Enam Bandar Baru Bangi, Kajang pada 12 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suara anak muda penting, pilih calon layak memimpin

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pengundi pilihan raya negeri (PRN) Selangor menyeru anak muda menunaikan tanggungjawab mereka membuang undi selain memilih calon yang layak untuk memimpin dan membawa perubahan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari mengundi enam negeri iaitu Selangor melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

Berikut temu bual pengundi:

“Saya berasa bertuah kerana dapat terlibat dalam proses memilih wakil rakyat pada PRN kali ini.

“Saya percaya suara anak muda sangat penting. Jadi kepada yang layak gunakan hak dan tanggungjawab ini sebaiknya kerana undi anda penentu masa depan negeri.”

Kho Siew Jie, 22 (kakitangan swasta – DUN Kajang)

“Rakyat berhak memilih calon yang betul-betul layak untuk memimpin dan membawa perubahan negeri. Pastikan cari tahu calon yang ada di kawasan masing-masing dan undilah berdasarkan keupayaan mereka mengurus rakyat.

“Saya harap anak muda di Selangor dapat tunaikan tanggungjawab masing-masing kerana kalau bukan kita siapa lagi. Pilihan di tangan anda.”

Sharifah Shahidah Syed Othman, 28, (pengurus pemasaran – DUN Balakong)

“Saya memberi sokongan penuh pada Cikgu Amidi dan akan pangkah calon nombor 2.

“Untuk semua terutama buat pengundi muda, mari kita turun beramai-ramai menunaikan kewajipan sebagai rakyat negeri Selangor. Undilah dengan bijak.”

Arimuthu Subramaniam, 63 (pesara – DUN Ijok)


Pengarang :