DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (duduk, tiga kiri) bergambar pada majlis makan malam eksklusif anjuran Prince’s Trust International dan Selangor Youth Community (SAY) di London, United Kingdom pada 16 September 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

RMS berkenan hadiri makan malam Selangor Youth Community di UK

SHAH ALAM, 18 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke majlis makan malam eksklusif anjuran Prince’s Trust International dan Selangor Youth Community (SAY) di London, United Kingdom.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook, keberangkatan Tengku Amir Shah pada Sabtu lalu diiringi kekanda Baginda, Tengku Zerafina dan Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Jamalullail.

“Majlis makan malam dengan tema ‘Empowering Malaysian Youth for a Brighter Tomorrow’ ini diadakan dengan hasrat meningkatkan kesedaran terhadap program-program pembangunan SAY untuk membantu para belia Malaysia mendepani cabaran akan datang.

“Menerusi inisiatif ini, DYTM Tengku Amir yang juga pengasas SAY turut memperoleh sokongan daripada Prince’s Trust International, sebuah organisasi yang diasaskan oleh Raja Charles III,” katanya.

Khamis lalu, Tengku Amir berkenan menghoskan majlis minum petang bagi meraih dana untuk SAY di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom.

SAY diwujudkan untuk membantu pembangunan belia khusus dalam bidang keusahawanan. Antara program dianjurkan termasuk Liga Usahawan Wanita dan Selangor Youth Community (SAY) ASPIRE.

SAY juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk belia seperti sukan, seni, kebudayaan dan menawarkan khidmat kemasyarakatan kepada golongan memerlukan.


Pengarang :