Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura kepada Kumpulan Mayang yang menjuarai pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Mayang juara Asli Battle of The Bands, terima wang tunai RM3,500

SHAH ALAM, 19 NOV: Kumpulan Mayang mewakili Gombak dan Petaling menjuarai pertandingan Asli Battle of The Bands (ABOTB) selepas menewaskan tujuh pesaing sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri menobatkan Mask Band (Gombak dan Petaling) sebagai naib juara manakala Zangkud (Hulu Langat dan Sepang) di tempat ketiga, masing- masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bergambar bersama pemenang pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini malam tadi. Hadir sama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah.

Amirudin dalam ucapannya berkata ABOTB menjadi bukti golongan minoriti itu tidak dipinggirkan dan menerima bantuan sama rata dengan kaum lain.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pertandingan ini untuk kita ketengahkan bakat dan persembahan berkualiti dalam kalangan anak Orang Asli. Sebagaimana janji kita, tak ada siapa pun akan tersisih dan akan terima pembelaan.

“Majlis malam ini sebagai tanda penghargaan kepada Orang Asli. Kita harap dapat cungkil bakat dan kumpulan ini akan mengharumkan nama Selangor serta negara pada masa depan,” katanya.

Aksi sebahagian daripada kumpulan muzik pada pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

ABOTB diperkenalkan tahun ini bagi mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan Orang Asli sebelum diketengahkan ke dalam industri seni.

Sebanyak 25 kumpulan muzik melibatkan kira-kira 125 Orang Asli bersaingan menerusi 74 sesi jelajah saringan yang dianjur di semua perkampungan tradisi Asli.

 


Pengarang :