BUDAYARENCANA

Enuresis

Oleh Nurimas SN

 

“Hii…bau hancing apa ni? Ah, sudohlah!

Pok Ching angkat kaki. Hasratnya untuk qiamulail terbantut dan rasa sebal memenuhi ruang. Sudahlah nak terjaga malam pun sekali-sekala. Macam mana nak tahajud kalau was-was menguasai diri. Parok! 

Awal dinihari apabila dia terjaga di kala regatta belum jejak ke dermaga, dia bulat niat. Hendak tahajud dan solat hajat. Bukan senang nak buat pahala berganda di bumi anbia. Tapi hatta kakinya menyentuh lantai, mulalah timbul macam-macam rasa. Was-was, waham, dzon dan ragu bagai.

Dia memang sensitif bab najis dan hal-hal kebersihan ini. Pantang cicak berak sutir pun dihambatnya natang tu. Pendek kata dia ambil kira sungguh, cakna tahap gaban kata orang. Apa lagi kalau bab kencing. Dia sapu licin lantai, siap mop lagi.

Sapelah kecing ngate rawe ni!”

Mahu tak mahu dia ambil juga gayung, jirus air hingga lalu mengalir dan lap dengan kain  buruk. Terkinja-kinja kakinya menapak ke kakus.

Dia mengisar tubuhkan ke arah katil sebelah. Dilihatnya Melan lena melopong. Bukan main sedap lagi. Dia lihat bucu katil yang bersentuhan dengan katilnya seakan basah. Bau hancing tak payah khabarlah. Mulutnya muncung sedepa. Cemberut.

Berat nanang lagu ni,”  bunyi juga mulutnya dalam mujahadah melawan marah. Usai proses ‘mengistinjak’ lantai, Pok Ching sudah hilang mood nak solat. Dia panjat balik katil. ‘Esok sajalah tajahud,’ dengusnya.

***

Memang malam waktu untuk dia berehat. Biasa kalau di rumah, sekali letak kepala, terus hanyut. Lebih-lebih lagi siang membanting kudrat. Tapi di sini amalan rutin jadi berubah. Dan dia tidak dapat berubah serta-merta.

“Umrah ini merupakan suatu latihan sebelum menunaikan haji. Duyufur Rahman kena tabah menghadapinya,” kata Ustaz Pie sebelum bertolak ke Madinah tempoh hari.

Betul dah, kena tabah, kena sabar. Tapi kalau tiap malam macam ni, macam mana nak sabar. Nak beribadat pun tak boleh. Terpaksa curi masa qada tidur di Masjid Nabawi.

Kadang orang azan zohor baru dia kelam-kabut ambil wuduk. Masa tu orang sudah ramai merempuh masuk ke ruang solat. Kenalah dia qiam di dataran sembari bahang panas menggigit kepala.

Di Madinah ini, dia harap menyesuaikan cuaca dan  cara hidup. Nanti bila ke Mekah sudah agak terbiasa. Urusan di sana lebih perlukan rehat cukup, mengumpul stamina untuk  berqiam malam.

Pok Ching rasa serba tak kena. Puas dia berdoa supaya cepat-cepat bergerak ke Mekah. Dia mahu melunasi itinerari kembara di permukiman Munawarah. Kata Mutawif, di Mekah, bilik mereka akan disusun semula. Kalau  boleh Pok Ching tidak mahu ibadat dan kesucian badannya diragukan.

Dia siap ke pasar kurma membeli ajwa dan kismis. Jemaah lebih suka buat urusan pos di Madinah. Ikut perkiraan perjalanan dalam tempoh seminggu minggu akan tiba ke destinasi. Di Mekah nanti Pok Ching hendak tumpu beribadat.

***

Akhirnya masa itu tiba juga. Pok Ching persiap segala apa yang patut.  Tepat jam 4.00 petang, jemaah  telah berhimpun di lobi hotel menanti bas yang membawa mereka ke Makkatul Muqaramah.

Lega benar Pok Ching. Rasa macam terlepas dari bebanan maha berat. Bukan kerana tidak suka bumi Rasulullah ini. Tapi, kerana impiannya untuk aman menunaikan solat malam. Kemudian, bersiaga awal untuk merenung kaabah. Itu saja!

Perjalanan hampir sama durasi penerbangan pesawat Saudi Air dari Kuala Lumpur ke Madinah masa datang hari itu. Mereka berhenti niat ihram di miqat Bir Ali sebelum meneruskan pemusafiran.

Delegasi duyufur Rahman mendarat, meraraui di Wadi Qudaid . Tidak banyak menu yang disediakan. Pok Ching memesan nasi arab ayam mandy dan qahwa. Hendak cari nasi dagang atau nasi kerabu memang tidak ditemui.

Tapi khabarnya di maktab Tabung Haji di Mekah nanti semua makanan Malaysia senang didapati. Peniaga Patani, Indonesia dan Malaysia ramai di kaki lima dan sekitar hotel. Hilanglah rindu.

Lebih lapan jam delegasi tiba di destinasi.  Rasa lenguh di atas bas masih belum kebah. Pok Ching menapak ke bilik yang ditunjukkan. Beberapa orang rakan baharu disalaminya. Lega dia.

Memasuki ambang pintu, matanya terbelalak besar. Rasa hendak pengsan juga ada. Masya-Allah, orang tua itu pun ada di sini! Sama bilik dengannya. Ah, sudahlah!

“Jumpa lagi kita,” sapa orang itu selamba mengukir sengih. Dalam hati Pok Ching seribu satu macam omelan bersusun. ‘Bakpelah jauh-jauh gini jumpa pulak orang Marang,’ getus hati Pok Ching meruntuhkan motivasinya.

Pok Ching dibalun resah lagi.  Bangun-bangun bau hancing. Habis seliparnya dibasuh. Entah bahagian mana lantai yang kena kencing, dia pun tak pasti. Tapi bau itu menyeluruhi ruang kamar.

Petang lepas asar hari itu, set-set ganu pakat jumpa gu. Mereka buat macam sembang kat wakaf depan Pasar Payang. Ada juga seorang dua yang bawa nganang. Cuma papan dam saja tak ada.

“Mang, aku tidur bilikmu malang ni,” Pok Ching menguja Dramang yang spontan berpaling.

“Bakpe? Kang ade tepak doh?” tempelak Dramang semacam tak suka pula dengan cadangannya. Pok Ching diam, niatnya terbantut. Malas juga dia nak berlawan hujah dengan Dramang, bercerita tentang keburukan rakan sebilik. Nanti sia-sia pula amalnya.

Hari ini dia balik awal ke hotel. Hasratnya hendak tidur sebelum orang Marang di sebelahnya balik. Nak bangun awal dan buat tahajud, tengah malam. Biasanya bau itu akan menyerang hidung di kala hampir fajar sadiq.

***

Sekitar jam 12 tengah malam dia terjaga, tepat macam niatnya. Pok Ching menggeliat, rasa nak terkencing. Lebih minum ais kot petang tadi. Rakan biliknya sudah di atas katil tapi nampak masih berkuit.

“Tak tidur lagi ke?” soalnya lirih. Orang tua yang selalu ‘mengganggunya’ mendengus. Tiada siapa menjawab. Pok Ching rasa bersalah pula dengan soalannya tadi.

Pok Ching sudah tak tahan. Dalam samar dia menggelungsur dari pembaringan. Dia tak bau apa-apa pun kali ini. Hatinya kesukaan. Tekanan untuk buang air kecil mendesak. Pok Ching pecat seluar longgar.

Pok Ching melepas hajat. Lega. Tiba-tiba lampu kamar terpasang. Tiga orang rakannya bangkit serentak.  Masing-masing terkejut dan menekup hidung. Berpandangan dan mengalih tumpuan kepada Pok Ching yang nampak kejut besar.

“La, kenapa kencing kat situ, pok?” soalan yang hanya lalu sahaja di telinganya. Pok Ching membongkok, mula merangkak ke katil perlahan-lahan. Dia usap-usap mata. Terpinga-pinga, seakan berada di logamaya.

Tak jadi niat untuk solat tahajud.

Rakan sekamarnya angguk-angguk, geleng-geleng dengan kecewa. Pok Ching buat tak tahu saja. Awal pagi esok pasti bau itu akan menyengat lubang hidung. Dia akan membebel sambil mencuci dan mengelap lantai.

Pok Ching tidur balik.

 


Pengarang :