Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (tiga, kanan) mewakili Misha Sdn Bhd menyampaikan sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin berjumlah RM10,000 kepada Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Palestin di Malaysia Nur Fatimah Amran (tiga, kiri) di Menara Misha, Pelabuhan Klang, Klang pada 2 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Salur derma untuk rakyat Palestin melalui Wisma Putra

KLANG, 3 DIS: Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dinasihat membuat sumbangan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Palestin di Malaysia Nur Fatimah Amran berkata kemudahan bantuan kendalian Kementerian Luar (Wisma Putra) itu untuk memastikan sumbangan mereka sampai kepada rakyat Palestin.

“AAKRP ini melibatkan proses ‘government to government channel’ (G2G) yang akan digunakan pada misi bantuan kemanusiaan Ops Ihsan.

Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Palestin di Malaysia Nur Fatimah Amran bercakap kepada media selepas majlis sumbangan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Menara Misha, Pelabuhan Klang pada 2 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Terdahulu, melalui Ops ini barangan perubatan, barangan bayi dan makanan diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah,” katanya.

Beliau ditemui pada program Kempen Misha untuk Tabung Palestin di Menara Misha, Klang di sini semalam.

Terdahulu, syarikat makanan kucing Misha menghulurkan sumbangan RM20,000 kepada Tabung AAKRP dan Tabung Kecemasan Gaza melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Dalam pada itu, Eksekutif Kanan MyCARE Norlela Hussin berkata sumbangan wang tunai RM10,000 dari Misha akan dihantar ke pasukan misi kemanusiaan MyCARE di Mesir bagi membantu menyalurkan bekalan air, makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin.

Eksekutif Kanan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Norlela Hussin bercakap kepada media selepas majlis sumbangan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Menara Misha, Pelabuhan Klang, Klang pada 2 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ia untuk memenuhi keperluan rakyat Palestin memandangkan mereka terputus bekalan air bersih, makanan dan ubat-ubatan,” katanya.


Pengarang :