BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Istana kubah emas saksi pertabalan dua Sultan Selangor

OLEH FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Sejak 1961, Istana Alam Shah yang memiliki kubah bersalut emas setebal suku inci (6.35 milimeter) di puncak menara setinggi 62 kaki menjadi istana rasmi Kesultanan Selangor.

Mula dibina pada Disember 1958 sebelum siap dalam masa 25 bulan, istana yang tersergam indah di bukit berkeluasan 13 ekar (5.2 hektar) di bandar diraja Klang itu menggambarkan prestij pemerintahan beraja negeri ini.

Seni bina dan reka bentuknya hasil ilham DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, sultan Selangor keenam. Menelan belanja $2.5 juta, ia menggantikan Istana Mahkota Puri (foto kecil), tempat bersemayam DYMM Sultan Alaeddin Suleiman Shah Alhaj yang dibina pada 1898.

Menurut buku Sultan Hisamuddin Alam Shah: Payung Kema’muran Negeri Selangor, kerja meroboh Istana Mahkota Puri bermula pada Januari 1959, diikuti peletakan batu asas Istana Alam Shah pada 21 Mei 1959.

Bagaimanapun, pembinaan di atas tapak Istana Mahkota Puri hanya siap empat bulan selepas Sultan Hisamuddin, waktu itu dilantik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mangkat pada 1 September 1960.

Istana Alam Shah dipengaruhi ukiran seni moden yang dibuat pakar seni pahat dari Itali. Sebahagian dinding diperbuat daripada cermin beserta ukiran bulan sabit dan bintang.

Semua peralatan ditempah khas dari negara luar antaranya Itali, Jepun, India, Perancis dan Sepanyol. Istana ini menempatkan Dewan Singgahsana yang boleh menampung 300 orang.

Balairung Seri di Istana Alam Shah setinggi dua tingkat. Selain itu, ia menempatkan Dewan Mesyuarat Diraja dan bilik jamuan, yang boleh memuatkan 300 orang. Selain binaan 10 kamar, istana ini juga mempunyai bilik solat berasingan untuk jemaah lelaki dan perempuan yang mampu memuatkan 100 orang.

Istiadat diraja

Istana Alam Shah tempat bersemayam anakanda almarhum Sultan Hisamuddin, sultan Selangor kelapan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mulai 15 Januari 1961. Baginda yang menyempurnakan pembukaan istana baharu itu pada 1 April 1961.

Sebagai istana rasmi negeri, Istana Alam Shah menjadi saksi pertabalan dan kemahkotaan dua Sultan Selangor iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 1961 dan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2003.

Ia juga menyaksikan istiadat pemasyhuran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Istiadat menggelar pembesar istana dan pembesar daerah serta pengurniaan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri pada hari keputeraan DYMM Sultan Selangor disempurnakan di sini.

Selain itu, istana berkenaan juga lokasi mesyuarat Dewan Diraja Selangor, istiadat pelantikan Dato’ Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Selain itu, pengurniaan watikah lantikan imam dan nazir bagi masjid seluruh negeri turut diadakan di Istana Alam Shah.

Diurus Pejabat DYMM Sultan Selangor, ia menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 26 Jun 2019 sebagai pengurusan istana pertama di Malaysia.

Selain istana ini, kesultanan Selangor turut memiliki Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika di Shah Alam, Istana Selangor (Kuala Lumpur), Istana Darul Ehsan (Putrajaya) dan Istana Bandar (Kuala Langat).


Pengarang :