BUDAYARENCANA

Pesan beluncas kepada kupu-kupu

 

cermati beberapa perkara
melawan putus asa:

kau pernah hidup untuk makan
pernah hodoh & dipersenda
pernah sendiri, makan hati
jalani hari

juga, maklumi
perihal kepak cantikmu–
ia ada sejarah panjang:

ditukang tubuh dalam kepompong
dirias peribadi sediam ubi
dijenamakan metamorfosis

untuk kau pilih
berani terbang; atau
kaku perhiasan.

Hidayyah AT Mizi


Pengarang :