Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri) meninjau lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mattin berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 8 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pasukan penyiasat guna dron cari petunjuk kes bunuh Zayn Rayyan

PETALING JAYA, 8 DIS: Pasukan penyiasat kes kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, menggunakan dron di sekitar kawasan aliran anak sungai dan belukar di belakang Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini bagi mencari petunjuk baharu kes itu.

Pemantauan Bernama di lokasi kejadian mendapati, pasukan khas berkenaan tiba di lokasi kejadian kira-kira 5 petang sebelum menerbangkan dron untuk mengenal pasti laluan keluar masuk yang digunakan oleh suspek untuk membuang mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Selain itu, pasukan penyiasat dilihat turut melakukan rondaan di sekitar kawasan penemuan mayat dan menemu bual beberapa penduduk.

Walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu, lokasi kejadian terus menjadi tumpuan media yang berkampung sejak pagi tadi bagi mengetahui dan melaporkan perkembangan terbaharu berhubung kes bunuh yang menyayat hati itu.

Pagi tadi, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abd Hamid turut meninjau kawasan kejadian dan memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan kali kedua daripada ibu bapa semalam, selain keterangan penjaga dan individu pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa, dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan terbaring berhampiran aliran sungai yang terletak pada jarak hampir 200 meter dari blok kediamannya di apartmen berkenaan, Rabu lepas.

– BERNAMA


Pengarang :