Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM seru majikan beri peluang pesakit HIV, AIDS bekerja, bina kehidupan

SUBANG JAYA, 2 DIS: Penghidap Virus Kurang Daya Tahan Penyakit (HIV) layak diberi peluang untuk bekerjaya dan membina kehidupan tanpa dibebani dengan sikap prejudis dan diskriminasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru majikan menilai semula tatacara operasi piawai (SOP) sumber manusia supaya tidak menyisihkan golongan berkenaan.

“Terdapat ramai majikan masih berada di takuk lama dan enggan mengubah pendirian mereka berkenaan isu produktiviti dan risiko penularan HIV di tempat kerja.

“Orang yang hidup dengan HIV sepatutnya diberi peluang untuk berkerjaya dan membina kehidupan mereka sendiri, tanpa dibebani dengan prejudis dan diskriminasi.

“Saya menyeru majikan memberi perhatian penuh kepada isu ini kerana dengan sokongan anda, hak mereka dilindungi dan usaha kita untuk mengakhiri Aids menjelang 2030 akan berjalan lancar,” katanya.

Ucapan perdana menteri itu dibacakan Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin pada Majlis Red Ribbon Gala Yayasan Aids Malaysia (MAF) di Sunway Resort Hotel di sini, malam tadi.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) berkenan menyaksikan perasmian MAF Impact Assessment Report oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunway Berhad Tan Sri Jeffrey Cheah pada majlis Gala Riben Merah Yayasan Aids Malaysia 2023 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 1 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan sama, Anwar menyokong penuh usaha MAF untuk menggubal semula peruntukan undang-undang yang boleh memberi perlindungan kepada penghidap HIV.

“Saya difahamkan MAF dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang dalam proses memperhalusi cadangan pembaharuan rang undang-undang ini dan turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan serta beberapa syarikat berkaitan,” jelasnya.

Sementara itu, Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir berkata pihaknya dalam usaha mendidik masyarakat daripada bersikap diskriminasi kepada penghidap Aids.

“Alat utama untuk mengekang penyebaran HIV adalah ubat sepanjang hayat bagi mereka yang dijangkiti. Malangnya, segelintir individu kurang kesedaran mengenai cara melindungi diri mereka dan orang lain daripada HIV.

Pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF) Prof Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman (empat, kanan) dan Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir (lima, kanan) bersama penaja bergambar pada majlis Gala Riben Merah Yayasan Aids Malaysia 2023 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 1 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Stigma sosial dan diskriminasi masyarakat itu juga antara salah satu faktor utama penghidap HIV malu atau takut untuk berhadapan dengan orang awam berbanding virus itu sendiri.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk terlibat secara proaktif dalam menyebarkan kesedaran HIV, terutamanya dalam pertempuran penting menentang stigma dan diskriminasi,” ujarnya.


Pengarang :