BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Umar al-Khattab pembebas al-Quds, jamin keamanan gereja

Oleh MARWAN BUKHARI A HAMID

Al-Aqsa dikepung selama empat bulan, tetapi tentera Rom masih tidak mahu menyerah.

Dipendekkan cerita, setelah itu panglima tentera Muslim memberi kata putus sama ada mereka mahu berdamai dengan cara memeluk Islam atau kekal dalam agama mereka tapi perlu membayar jizyah, ataupun memilih untuk perang.

Ketua Gereja Jerusalem ketika itu, Patriark Sophronius memilih jalan perdamaian.

Namun, ada suatu yang aneh terjadi iaitu Patriark bertegas mahu Khalifah Umar al-Khattab sendiri membuka al-Quds (atau dikenali sebagai Aelia ketika itu).

Sesetengah catatan sejarah menyebut bahawa perkhabaran tentang Umar sebagai pembuka al-Quds terdapat dalam kitab-kitab suci mereka.

Setelah dimaklumkan hal itu, Umar bermesyuarat dengan sahabat Rasulullah SAW iaitu Uthman Affan dan Ali Abu Talib. Uthman kata tidak, sebaliknya Ali kata ya.

Umar bersetuju dengan Ali, lalu beliau menuju Aelia bersama bala tenteranya. Ali memangku tugasnya di Madinah.

Umar bertemu panglima-panglima perang di Jabiyah (terletak antara Dataran Hawran dan Bukit Golan).

Pertemuan ini berlaku setelah dua tahun tidak bertemu kerana terlibat dalam beberapa ekspedisi ketenteraan.

Kedua-dua peristiwa mesyuarat dan pertemuan ini menunjukkan satu peribadi penting kepemimpinan Umar iaitu tidak buat keputusan sendirian.

Jaminan Umar

Itulah didikan al-Quran dan Nabi SAW kepadanya menerusi konsep syura.

Mesyuarat ialah budaya penting bagi pemimpin dan masyarakat Muslim, malah itu mengelakkan seseorang daripada menjadi diktator.

Setelah tiba di Baitulmaqdis iaitu pada 16 Hijrah, Patriark itu pun keluar. Umar memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

Patriark menyerahkan kunci-kunci al-Quds kepada Umar.

Umar memasuki Baitulmaqdis menerusi pintu yang dimasuki oleh Rasulullah SAW semasa Israk Mikraj.

Ketika beliau sedang duduk di ruang tengah Gereja al-Qiyamah, waktu solat masuk, lalu beliau keluar dan mendirikan solat bersendirian di atas anak tangga berdekatan pintu gereja.

Beliau berkata kepada Patriark, “sekiranya aku mendirikan solat di dalam gereja itu, pasti umat Islam selepasku akan mengambil gereja ini dan mengatakan bahawa ‘Umar mendirikan solat di sini!”

Menerusi peristiwa ini, ‘Umar menunjukkan Islam sebagai agama toleransi dan keamanan.

Tambahan pula, beliau mengadakan perjanjian dengan masyarakat Kristian yang diketuai oleh Patriark.

Perjanjian ini terkenal dengan dengan nama al-‘Uhdah al-‘Umariyya. Berikut ialah teks perjanjian bersejarah itu:

“Ini adalah jaminan keamanan kepada penduduk Aelia yang dikurniakan oleh hamba Allah, Umar (Ibn al-Khattab) selaku Amir al-Mu’minin.

Beliau telah mengurniakan mereka satu jaminan keamanan untuk kehidupan dan harta benda mereka, gereja-gereja dan salib-salib mereka, yang melibatkan semua sama ada yang sakit dan sihat serta seluruh komuniti agama.

Gereja-gereja mereka tidak boleh diambil alih, dimusnahkan atau dirosakkan sebahagiannya dan diambil khazanahnya. Salib dan sebarang harta benda mereka tidak boleh diceroboh.

Penduduk mereka tidak boleh dipaksa dalam beragama dan tidak juga boleh dianiaya. Tiada orang Yahudi dibenarkan mendiami Aelia bersama mereka.

Penduduk Aelia perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk kota-kota yang lain berbuat demikian. Mereka perlu mengusir orang Rom Timur dan perompak.

Sesiapa dalam kalangan mereka (kumpulan Rom Timur yang pertama) yang perlu meninggalkan Aelia, nyawa dan harta benda mereka akan dilindungi daripada bahaya sehingga mereka tiba di tempat yang ada keamanan.

Sementara itu, bagi mereka (kumpulan Rom Timur kedua) yang memilih untuk tinggal, mereka akan selamat serta perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk Aelia.

Penduduk Aelia yang mahu pergi bersama orang-orang Rom Timur beserta harta benda mereka serta mahu mengosongkan gereja dan salib mereka, maka mereka dan semua benda itu akan selamat sehingga tiba di tempat yang aman.”

Menurut cendekiawan agung Mesir abad ke-20, ‘Abbas al-‘Aqqad: “Jaminan sebegitu tidak pernah ingin dilakukan oleh mana-mana pemimpin dalam apa-apa tamadun sebelum Umar.” (‘Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd)

Pakaian biasa

Sekali lagi, kita melihat kebijaksanaan pemerintahan Umar yang menggunakan rundingan dan perjanjian.

Ini mirip dengan teladan mahagurunya, Rasulullah SAW yang pernah membuat perjanjian bernama Piagam Madinah. Perjanjian dan rundingan penting untuk hidup damai bersama.

Menurut catatan Ibn Khathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, ketika membukanya, Umar berpakaian biasa sahaja. Ada yang mencadangkannya berpakaian gah dan menaiki kenderaan mewah.

Tetapi Umar yang terkenal tawaduk enggan kerana kemuliaan dikurniakan oleh Allah menerusi pedoman Islam tanpa memerlukan selain itu.

Demikianlah intisari peristiwa bersejarah pembukaan Umar terhadap Aelia yang kemudian ditukar nama sebagai al-Quds itu.

Pembukaan itu penuh dengan nilai untuk diteladani oleh masyarakat hari ini. Banyak lagi babak dan pengajaran lain namun tak termuat dalam ruang kecil ini.

Sukar sekali untuk kita membayangkan hal tersebut hari ini di sebalik realiti kekejaman rejim zionis Israel yang mengganas termasuk membantai kanak-kanak, wanita, hospital, masjid, gereja, kem pelarian, wartawan dan segalanya.

Namun, segala usaha, kecekalan dan pengorbanan rakyat Palestin serta solidariti antarabangsa menjadikan kita optimis bahawa tidak lama lagi penindasan terhadap mereka akan berakhir, sementara zionis akan mendapat pengakhiran yang memalukan.

 

*** Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia 

 

 


Pengarang :