Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan tiga kompaun terhadap premis beroperasi tanpa lesen di Klang pada 9 Februari 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBDK keluar kompaun ke atas premis beroperasi tanpa lesen

SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan tiga kompaun terhadap premis beroperasi tanpa lesen di sekitar Klang.

MBDK memaklumkan dua kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis di Jalan Kasawari 4B, Taman Eng Ann yang menjalankan aktiviti pasar mini barangan kering dan basah.

“Siasatan mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen perniagaan sah dan memaklumkan masih belum memperbaharui lesen perniagaan terkini bagi tahun ini.

“Dua kompaun diserah kepada pemilik perniagaan di atas kesalahan beroperasi tanpa lesen serta mewujudkan halangan di lorong belakang premis,” kata MBDK menerusi Facebook.

MDBK memaklumkan kompaun dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil3 (UUK3) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 serta Seksyen 46 (1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Sementara itu dalam satu lagi operasi berasingan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengeluarkan satu kompaun kepada pemilik perniagaan di Jalan Teluk Kapas, Rantau Panjang yang menjual makanan dan minuman atas kesalahan beroperasi tanpa lesen.

“Kompaun dikenakan di bawah UUK3 Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007,” jelasnya.


Pengarang :