BUDAYARENCANA

Dalam Seminggu (i)

Oleh Sakinah Sa’aya

Dalam seminggu, dia berlari sekurang-kurangnya tiga kali. Laluan yang sama sahaja. Bermula dari kawasan apartmen di University Boulevard sehingga Registan, ke taman Alisher Navoiy, dia akan singgah di kawasan gim terbuka untuk sedikit senaman kekuatan, sebelum menyambung larian sehingga ke kawasan apartmen semula. Tidak pernah dia berlari tanpa menarik lirikan banyak mata. Dia juga tidak tahu kenapa. Mungkin kerana perempuan bertudung (padahal ini negara majoriti muslim) memang jarang dilihat menonjolkan diri dengan berlari di negara ini, atau paras wajahnya yang memang tidak seperti wajah tempatan, atau memang bagi mereka tempat perempuan adalah di rumah, bukan bebas berlari ke sana sini. Kawan-kawan sekelas dia yang perempuan semuanya sudah berkahwin dan beranak-pinak. Dalam usia yang muda pula. Dan mereka sering juga bertanya kepadanya bilakah giliran dia pula untuk berkahwin. Dia tiada jawapan untuk itu. Pernah pula dia menipu bahawa dia sudah mempunyai teman lelaki. Berharap dapat mematikan soalan tentang perkahwinan, tetapi malangnya soalan susulan pula ditanya – adakah dia sudah mempunyai rancangan dan tarikh untuk berkahwin. Dia akhirnya hanya tersenyum dan sedaya upaya mengubah topik perbualan.

Dalam seminggu, dia berlari sekurang-kurangnya tiga kali. Dia mula berlari sejak tahun 2022 semasa masih di Malaysia. Bermula daripada perkenalan dengan seorang rakan pelari di Twitter, rutin larian menjadi sesuatu yang mendarah daging untuknya sehingga kini. Berlari di negara beriklim tropika amat berbeza dengan berlari di negara empat musim. Jika berlari di Malaysia, hanya ada dua kemungkinan cuaca. Niat berlari hanya akan dibatalkan apabila hujan (sangat) lebat dan kilat/guruh sabung-menyabung. Di negara empat musim seperti ini, sebelum keluar rumah untuk berlari, wajib mengambil tahu suhu semasa di luar rumah. Perlu pula memikirkan berapa lapis baju yang wajar disarung. Jangan tertipu dengan terik matahari di luar. Kadangkala matahari kelihatan garang memancar, tetapi suhu sudah di bawah bacaan empat darjah Celsius. Tetapi dia tahu, badan manusia adalah tanda paling nyata wujudnya Tuhan. Dalam teori evolusi oleh Herbert Spencer dan Charles Darwin, manusia moden kini adalah hasil daripada survival of the fittest (sintasan yang paling layak) dan juga natural selection (pemilihan semula jadi). Cuaca, pemakanan dan ketersediaan sumber alam akan mempengaruhi sumber daya manusia. Bahawa manusia diciptakan dengan kebolehan beradaptasi yang luar biasa. Syaratnya, manusia itu bukan hanya mampu, tetapi mahu. Peralihan ke arah yang lebih baik tidak akan terjadi dengan kita yang hanya duduk dengan ketersediaan sumber, tetapi tiada daya yang bernama kemahuan. Dengan kemahuan berfikir, akan datang bersamanya kemajuan dan sejahteranya kehidupan.

Dalam seminggu dia berlari sekurang-kurangnya tiga kali, laluan utamanya adalah Registan yang merupakan mercu tanda terpenting kota ini, selaku titik pertemuan laluan sutera di Asia Tengah. Registan merupakan gabungan tiga buah madrasah yang melambangkan pengembangan, perkongsian, dan pelanjutan ilmu pengetahuan, bermula sejak awal lagi di bumi Sogdian ini. Walaupun kini Registan hanya penuh dengan pasangan pengantin baru bersama rombongan jurufoto dan penatarias mereka, ia tetap menjadi simbolik dan penyaksian bahawa pelbagai jenis keilmuan telah sampai atau sekurang-kurangnya telah menelusuri tanah ini. Dia tersenyum dengan ironi bahawa sistem pendidikan di negara ini yang sedikit terkebelakang. Memikirkan bahawa pelbagai bidang ilmu padahal telah sampai lebih awal di sini. Sistem universiti yang tidak terpusat menyebabkan birokrasi melampau yang melelahkan, komunikasi yang gagal antara pengurusan universiti dan pelajar, bahagian akademik universiti yang tidak mempunyai prosedur yang jelas, standard pembelajaran yang tidak teratur dan banyak lagi rungutan lain. Memang negara ini masih dalam kawalan Soviet Union dan baru sahaja mencapai kemerdekaan, belum pun mencapai usia 35 tahun. Tetapi minda dijajah mereka masih menebal. Semoga seiring waktu, negara ini akan tumbuh subur membangkitkan kembali kegemilangan sejarah lampau mereka.

Dalam seminggu dia akan berlari sekurang-kurangnya tiga kali. Sebagai seorang pelari tegar yang tidak mempan dengan peringatan daripada teman serumah supaya tidak berlari di dalam suhu sejuk, dia tetap sedar dan beringat-ingat. Supaya tidak keterlaluan melayan nafsu berlari. Maka kadangkala apabila cuaca tidak memungkinkan, sesi larian akan digantikan dengan sesi memasak dan makan sahaja di dapur. Dia jarang makan di luar. Makanan tempatan kota ini tidak dapat memenuhi tekak dan selera anak Malaysia yang kompleks dan pelbagai. Ia kurang bervariasi dan kedai mereka hanya menjual makanan yang itu-itu sahaja. Osh, lagman, shashlik, manty atau snek somsa yang semuanya dihidangkan bersama roti non dan teh panas tanpa gula. Dia merindui nasi lemak, nasi hujan panas, ayam masak merah, nasi ayam, murtabak, apam balik, pulut panggang, tepung pelita, keropok lekor, otak-otak, soto ayam, lontong darat, dan senarai makanan Malaysia yang tidak pernah habis. Dia selalu hairan dengan negara ini kerana walaupun berposisi di laluan sutera bersekali laluan rempah, makanan yang mereka punya tidak serumit makanan Malaysia. Entah kenapa pula sebabnya. Walaupun ia berada di titik pertemuan laluan sutera, negara ini adalah negara tanpa laut, malah merupakan satu daripada dua negara double landlocked di dunia. Bahawa untuk sampai ke sini, perlu melalui dua sempadan daratan negara lain. Itu juga mungkin antara faktor kekurangan dan betapa mahalnya sumber luar yang dibekalkan ke sini. Polisi negara yang tertutup sebelum ini akibat kolonialisasi Soviet Union juga menjadi penyebab. Bersyukurlah dia dilahirkan dalam sebuah negara maritim, penuh dengan sumber pertanian lebih-lebih lagi memiliki kelapa selaku pohon seribu guna.

Dalam seminggu, dia akan berlari sekurang-kurangnya tiga kali. Fikirannya menerawang ke mana-mana setiap kali berlari. Rindu tanah air, rindu makanan, rindu larian denai di hutan tebal lembap penuh pacat, rindu panasnya matahari yang seringkali dirungutkan apabila terlalu terik memancar, rindu sungai dan air terjun, rindu pasar malam, rindu aneka makanan viral yang tidak berhenti tumbuh sekian waktu, rindu berita-berita aneh politik negara yang beragam cerita, dan rindu yang bermacam-macam rindu. Berada di negara orang yang penuh keterasingan mengajar dia lebih bersyukur dengan wujudnya diri. Ketidakpastian hidup di perantauan tidaklah semuanya payah dan bukanlah semuanya indah. Sensasi kulit bersentuhan dengan dingin salji, sahabat-sahabat baru yang sibuk mengambil tahu, sejarah negara asing yang penuh perjuangan panjang, makanan yang tidak biasa di lidah, jejak-jejak kaki ke tempat yang belum pernah diketahui wujud, banyaknya wajah dan mata yang melihat asing, keterujaan pelbagai ilmu baharu dan mengetahui luasnya bumi Tuhan yang belum tentu habis diterokai walau sejauh mana kaki berlari, tiga kali dalam seminggu.


Pengarang :