Pemandu bas ekspres maut selepas bas dipandu terlibat kemalangan dengan treler di Kilometer (KM) 75.2 Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun pada 17 Mac 2024. Foto JBPM Kedah
AGENDANASIONAL

Pemandu bas ekspres rentung dalam kemalangan dengan treler

SUNGAI PETANI, 17 MAC: Pemandu bas ekspres maut selepas bas dipandunya terlibat kemalangan dengan treler di Kilometer (KM) 75.2 Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun dekat sini, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.02 pagi tadi dan tiba di lokasi pada 4.19 pagi.

Beliau berkata pemandu bas lelaki berusia 42 tahun itu tersepit di tempat duduk dan ditemukan dalam keadaan rentung.

“Lima mangsa (penumpang bas) termasuk pembantu pemandu bas, masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun dan seorang pemandu lori berusia 32 tahun terselamat.

“Seorang penumpang perempuan berusia 29 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fauzi berkata api berjaya dikawal pada 4.37 pagi dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pendang untuk rawatan lanjut.

“Operasi membabitkan 18 pegawai serta anggota dan turut dibantu BBP Amanjaya dan BBP Pendang, serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :