Logo baharu Gombak FC diperkenalkan menerusi laman media sosial rasmi kelab itu pada 27 Mac 2024. Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Daerah Gombak
AGENDASUKANKINI

Gombak FC perkenal logo baharu, lambang kekuatan pasukan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 28 MAC: Persatuan Bola Sepak Daerah Gombak melancarkan logo baharu pasukan Gombak FC bagi saingan Liga AFL-Kejohanan MBSB Bank 2024/2025.

Menerusi perkongsian di Facebook, logo baharu itu melambangkan kekuatan, keyakinan dan perpaduan pasukan Gombak FC.

Logo yang menampilkan lima warna iaitu putih, hitam, kuning, merah dan biru itu disertakan tulisan Gombak Football Club, juga karikatur kuda serta bola.

Pada 8 Mac lalu, Gombak FA mengesahkan penyertaan pada Liga AFL-Kejohanan MBSB Bank 2024 dengan menggunakan logo baharu dikenali Gombak FC.

Persatuan Bola Sepak Daerah Gombak memaklumkan penyertaan Gombak FA pada Liga AFL-MBSB Bank Championship 2024 akan memberi nafas baharu kepada kemeriahan kejohanan itu.

“Persatuan akan mengumumkan barisan kejurulatihan, pengurusan pasukan dan barisan penaja Gombak FA dalam masa terdekat.

“Semoga kehadiran Gombak FA di Liga AFL – Kejohanan MBSB Bank 2024 memberi saingan kepada pasukan bertanding serta mewarnai liga tersebut di Gombak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Daerah Gombak mengemukakan permohonan bagi menyertai Liga AFL-Kejohanan MBSB BANK 2024.

Dalam surat bertarikh 8 Mac, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL bersetuju menerima penyertaan Gombak FA pada kejohanan itu.

“Persatuan merakam ucapan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah AFL memberikan kepercayaan dan kemampuan Gombak FA untuk bermain Liga AFL – MBSB Bank Championship 2024,” katanya.


Pengarang :