Wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee menghulurkan sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau di Dewan MPKK Kampung Baru Pandamaran pada 23 Mac 2024. Foto Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

Imarah Ramadan, DUN Pandamaran agih RM32,000 kepada masjid, surau

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 28 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menghulurkan sejumlah RM32,000 kepada empat masjid dan 10 surau bagi melaksanakan program mengimarah Ramadan.

Wakil rakyatnya Leong Tuck Chee berkata selain sumbangan kepada institusi Islam, pihaknya turut menganjurkan program edaran bubur lambuk melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gadong, Sungai Udang, Kampung Raja Uda dan Kampung Baru Pandamaran.

“Pusat khidmat DUN turut mengedarkan 200 bakul makanan di Pangsapuri Pandamaran dan Pangsapuri Sri Angkasa dengan kerjasama Kumpulan Sunway.

“Program membuat bubur lambuk dengan kerjasama Parlimen Klang berjaya membawa kepada semangat perpaduan kerana turut disertai masyarakat berbilang bangsa,” katanya kepada Selangorkini.

Sempena sambutan Aidilfitri, beliau berkata sebanyak 500 baucar Jom Shopping bernilai RM200 akan diberi kepada penerima di Giant Bukit Tinggi pada 31 Mac ini.

“Semoga inisiatif Kerajaan Negeri ini membolehkan penerima yang layak membeli keperluan raya sekali gus meringankan beban mereka,” katanya.

Wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee menganjurkan program edaran bubur lambuk perdana di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN pada 28 Mac 2024. Foto Leong Tuck Chee

Pengarang :