AGENDAJENAYAH

41 kilogram ganja, 300 vape dalam van dirampas, penghantar barang ditahan

MELAKA, 27 MAC: Penghantar barang ditahan bersama 41.28 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 300 botol vape, turut dipercayai mengandungi cecair ganja dianggarkan bernilai RM130,971 di kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) menghala selatan, 24 Mac lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada 1.35 tengah hari.

Beliau berkata lelaki itu ditahan selepas risikan lebih sebulan dilakukan terhadap pergerakannya yang berperanan sebagai pengedar dadah di sekitar Melaka sejak awal tahun lalu.

“Ketika serbuan, suspek berada seorang diri dan pemeriksaan terhadap van dipandu mendapati semua dadah terbabit disimpan di dalam bonet.

“Dadah yang dirampas termasuk dalam bentuk cecair yang dijual dalam botol vape itu dipercayai boleh digunakan 206,405 penagih dadah dan vape berkenaan dipercayai turut dijual kepada pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala ujan air kencing negatif.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari hingga 30 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

– BERNAMA


Pengarang :