Cuaca panas terik yang dirakam lensa BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penternak ikan air tawar berisiko rugi akibat cuaca panas terik

GUA MUSANG, 28 MAC: Penternak ikan air tawar di jajahan ini berdepan risiko mengalami kerugian selepas paras air kolam semakin berkurangan kesan daripada cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Seorang penternak Ab Aziz Yusoff, 63, berkata sistem pengairan air tandak untuk hampir 8,000 ikan tilapia dan ikan puyu miliknya telah beberapa kali terputus ekoran mata air dari kawasan berdekatan tidak cukup untuk dipam masuk ke kolam sejak sebulan lepas.

“Keadaan cuaca panas sejak kebelakangan ini menyebabkan paras air kolam ikan air tawar semakin berkurangan, saya bimbang ternakan ikan saya terjejas dan mati,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Lepan Jaya di sini.

Katanya dia memasang kincir air di kolam yang menempatkan ikan tilapia bagi menstabilkan kualiti air dan memantau paras air kolam ikan puyu untuk mengelak kematian ternakannya.

“Alhamdulillah kesemua ikan masih bertahan dan penggunaan kincir air untuk membantu pengoksigenan berkesan setakat ini,” katanya.

Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Hau, Syamirol Razali, 25, turut melahirkan kebimbangan berdepan kerugian kerana air kolam kira-kira 2,000 ekor ikan tilapia yang baharu diternaknya awal tahun ini semakin berkurangan.

“Saya risau anak-anak ikan ini tidak dapat bertahan, tumbesarannya juga agak perlahan dalam cuaca sekarang. Makanan juga lambat dihabiskan setiap kali diberikan,” katanya.

Syamirol berkata kolamnya menggunakan punca air semula jadi dan kekurangan taburan hujan amat memberi kesan kepada ternakan.

-BERNAMA

 


Pengarang :