Anggota bomba melakukan latihan menyelamat di pusat membeli-belah AEON Shah Alam pada 17 April 2024. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Abai aspek keselamatan, ubah suai bangunan tanpa perakuan bomba

SHAH ALAM, 17 APRIL: Hampir 200 daripada 1,900 premis yang mempunyai sijil perakuan bomba (FC) tidak memenuhi piawaian ditetapkan sekali gus berisiko mengundang kemalangan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Selangor) berkata pengusaha dan pemilik premis dikesan mengabaikan beberapa arahan antaranya tidak melakukan latihan kebakaran, alat keselamatan tidak berfungsi dan pengubahan struktur bangunan.

Berikutan itu Wan Md Razali Wan Ismail berkata beberapa individu sudah didakwa mengikut undang-undang mengikut akta perkhidmatan bomba 1988.

“Berdasarkan statistik 10 peratus daripada 1,900 bangunan yang mempunyai FC tidak melakukan proses-proses tertentu yang diarahkan. Antaranya latihan kebakaran.

“Ada keperluan (premis) yang perlu disemak dan dibuat dari segi keselamatan dan sistem yang ada dalam bangunan. (Contohnya) Jika premis membuat pengubahsuaian, perlu dimaklumkan kepada bomba demi memastikan keselamatan,” katanya pada program latih amal pra-insiden di AEON Mall di sini, hari ini.

Kerajaan menetapkan sembilan kategori bangunan perlu mempunyai FC iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan serta storan dan am.

Dalam program berkenaan, pasukan bomba melakukan demonstrasi menyelamat mangsa di dalam pusat beli belah sekiranya berlaku kebakaran.

“Semua premis yang mempunyai FC perlu melakukan latihan seperti ini sekurang-kurangnya sekali setahun untuk memastikan semua pihak bersedia dan alatan keselamatan tak rosak,” katanya.


Pengarang :