Skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan menghadapi Piala Asia 2023 di Universiti Qatar pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya kini di kedudukan ke-138 dunia, turun enam anak tangga

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Ranking skuad Harimau Malaya jatuh enam anak tangga tempat ke-138 dunia, berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan menerusi kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon mengumpul keseluruhan 1,094.54 mata menurun daripada posisi ke-132 dunia, yang dihuni sejak 15 Februari.

Kejatuhan ranking skuad negara itu disebabkan mereka kehilangan 15.63 mata susulan dua kekalahan kepada Oman pada saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, berlangsung di Muscat dan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) masing-masing pada 22 dan 26 Mac.

Skuad negara tewas dengan jaringan 0-2 pada kedua-dua perlawanan tersebut.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, manakala Kyrgyzstan yang mengatasi Taiwan 5-1 kekal di posisi teratas selepas mengumpul sembilan mata diikuti Oman kedua yang turut mengumpul sembilan mata, sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, anak buah Pan Gon akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di SNBJ pada 11 Jun.

Kemas kini itu juga turut menjejaskan ranking Malaysia yang kini muncul selaku pasukan ke-24 terbaik Asia, selepas dipintas Indonesia (ke-23).

– BERNAMA


Pengarang :