Graduan ceria dalam Majlis Konvokesyen Putra Business School 2023 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 4 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Permohonan hadiah RM1,000 masuk universiti dilanjut hingga 30 April

SHAH ALAM, 18 APRIL: Permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) untuk anak Selangor dilanjutkan dari 16 April sehingga 30 April 2024.

Pejabat Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor memaklumkan pemohon hendaklah melengkapkan dokumen sebelum tarikh akhir bagi mengelak kesesakan trafik di dalam portal.

“Permohonan HPIPT akan dilanjutkan sehingga 30 April 2024. Mohon untuk lengkapkan dan hantarkan permohonan anda sebelum tarikh akhir permohonan,” katanya menerusi Facebook.

Program HPIPT menawarkan insentif wang tunai RM1,000 itu terhad kepada 3,000 individu. Borang permohonan boleh diisi dengan melayari https://edanapendidikan.selangor.gov.my.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada November tahun lepas berkata sejumlah RM3 juta diperuntuk untuk meneruskan program HPIPT.

Tambah Dato’ Seri Amirudin Shari, Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) juga diteruskan dengan dana RM9 juta bagi memperkasa pendidikan di negeri ini.

Selain itu, seramai 2,500 pelajar disasar menerima Bantuan Asas Yuran Universiti (Bayu) tahun ini bagi mengurangkan beban untuk menyambung pengajian.

 


Pengarang :