NASIONAL

Lebuhraya DASH siap 2019, dibuka awal 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 26 OKT: Lebuhraya Damansara-Shah Alam Elevated Exspressway (DASH) dijangka siap sepenuhnya penghujung 2019 sebelum dibuka untuk laluan awam pada awal 2020 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, selain menjimatkan masa dan jarak perjalanan, lebuh raya ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi khususnya melibatkan akses kepada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

“Lebuhraya ini menghubungkan Penchala dan Puncak Perdana itu akan melalui Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Subang 2, Kwasa Damansara, Kota Damansara dan Damansara Perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Taklimat Media Projek SUKE & DASH – PROLINTAS di Galeria SUKE, Excella Business Park Jalan Ampang Putra, Taman Ampang Hilir di sini, semalam.

Jelasnya, kajian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati masa perjalanan Puncak Perdana ke Penchala bakal dijimatkan sehingga 43 minit dengan perjalanan sejauh 20 kilometer berbanding sejam untuk perjalanan sejauh 30 kilometer tanpa menggunakan DASH.

Katanya, kajian LLM juga mendapati, lebuh raya itu akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sebanyak 39 peratus di Persiaran Mokhtar Dahari, 33 peratus bagi Jalan Sungai Buloh dan 43 peratus bagi Persiaran Surian.

Katanya, sama seperti Sungai Besi – Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), DASH juga menyediakan transit atau susur masuk dan keluar yang banyak iaitu 13 kesemuanya.

Katanya lagi, susur terbabit adalah Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.


Pengarang :