SELANGOR

Penyambungan paip haram, kilang simen curi air

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Sebuah kilang simen diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Telok Panglima Garang selepas dikesan mencuri air dengan membuat penyambungan paip secara haram.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, kilang itu dipercayai menggunakan perkhidmatan air secara percuma sejak lebih dua bulan lalu.

“Pemeriksaan mendapati wujud sambungan secara terus dari paip utama milik Air Selangor tanpa melalui meter di lokasi itu.

“Ujian klorin turut mengesahkan ia air terawat yang diterima daripada sumber bekalan air milik Air Selangor,” katanya dipetik sinar harian

Katanya, satu Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan telah dikeluarkan Air Selangor untuk tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah tersebut.

Tambahnya lagi, Air Selangor menangung kerugian dianggarkan sebanyak RM54,738 selama 75 hari atau bersamaan 23,130 meter padu.

“Kes akan disiasat secara terperinci di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 .

“Kita ingin mengingatkan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sedemikian akan berdepan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya di bawah akta tersebut,” katanya


Pengarang :