PBTSELANGOR

SEDAR bantu hapus pembiakan Aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited menangani wabak denggi, di kawasan pentadbirannya.

Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, sehingga kini terdapat 160 kumpulan sukarelawan SEDAR (Searh and Destroy) dan 173 pasukan, di kawasan Petaling Jaya.

Katanya, kumpulan itu terdiri daripada jabatan dalaman MBPJ, sekolah, tapak binaan, agensi kerajaan juga dalam kalangan komuniti dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Isu ini sudah lama berlaku sehingga menyebabkan penduduk berasa bimbang kerana tiada pihak bertanggungjawab dalam menangani pembiakan Aedes sehingga membahayakan orang ramai.

“Sehubungan itu, MBPJ menubuhkan SEDAR dalam membantu menurunkan kes demam denggi serta mencapai tahap sifar pembiakan jentik-jentik juga pengurangan denggi secara berpanjangan di sekitar lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan SEDAR yang pertama ditubuhkan di kawasan Petaling Jaya, pada 30 November 2014, di Pangsapuri Idaman Damansara Damai Petaling Jaya.

SEDAR adalah pasukan sukarelawan yang mencari dan memusnahkan jentik-jentik Aedes dengan kekerapan sekali seminggu.

Sejak penubuhannya, penyampaian maklumat bukan sahaja dapat disalurkan dengan cepat melalui media elektronik, malah pendidikan kesihatan dapat disampaikan secara terus dan praktikal.

“Pemeriksaan teliti perlu dibuat di tempat berpotensi pembiakan jentik-jentik. Jika bekas tidak dapat dimusnahkan, maka Unit Kawalan Vektor akan menggunakan bahan kimia pembunuh jentik-jentik seperti Abate,” katanya.

Jika terdapat kawasan berpotensi pembiakan jentik-jentik, orang ramai boleh menghubungi SEDAR di Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Persekitaran di talian 03 79552381 atau 03 79579823 untuk mendapatkan bantuan secara teknikal dari semasa ke semasa.


Pengarang :