EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka lebih rendah

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Bursa Malaysia dibuka dengan kejatuhan mendadak hari ini ekoran penurunan ketara di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Memetik BERNAMA, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,858.84 pada jam 9.05 pagi iaitu turun 18.03 mata berbanding 876.87 ketika ditutup, semalam.

Ia dibuka 16.29 mata lebih rendah, pada 1,860.58.

Peniaga berkata, saham AS dan Eropah mengalami kerugian semalaman yang ketara dan bon kerajaan melonjak kerana rancangan AS untuk mengenakan tarif ke atas import China mencetus kebimbangan baru berhubung kemungkinan perang perdagangan global.

Keseluruhan suasana pasaran adalah negatif dengan 458 kaunter rugi berbanding 46 untung sementara 146 kaunter tidak berubah, 1,245 tidak diniaga dan 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 94.55 juta saham bernilai RM79.87 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM10.42, Public Bank turun 20 sen kepada RM23.84, TNB jatuh empat sen kepada RM15.74, CIMB merosot lima sen kepada RM7.24 dan Petronas Chemicals berkurang tujuh sen kepada RM8.14.

Antara saham aktif, Sapura Energy dan AirAsia jatuh 1.5 sen tiap satu kepada 52.5 sen dan 38.5 sen, UMW O&G dan CME masing-masing turun setengah sen kepada 30.5 sen dan 4.5 sen, manakala Compugates tidak berubah pada 2.5 sen.


Pengarang :