PENDIDIKANSELANGOR

Jangan salahkan Kerajaan Negeri isu pembinaan SJKT Ladang Coalfields

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Barisan Nasional (BN) diminta tidak menyalahkan Kerajaan Negeri dalam isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Coalfields dan asrama anak peladang, di Kuala Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembinaan itu tergendala apabila pihaknya menghadapi pelbagai isu membabitkan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksanakan pembinaan institusi berkenaan.

“Disebabkan itu, kami mengambil keputusan menyerahkan tanah empat ekar dan peruntukan RM4 juta kepada JKR bagi membina sekolah berkenaan. Di sinilah bermulanya masalah yang kini dibangkitkan MIC.

“Sebelum ini, pada 2012, Kerajaan Negeri berjanji membina sekolah ini merangkumi 18 bilik darjah, perpustakaan, makmal sains, makmal komputer, bilik guru dan dewan berkapasiti 800 orang di tanah seluas empat ekar dengan peruntukan RM4 juta.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak dapat dilaksanakan kerana Kementerian Pendidikan menolak cadangan membina 18 bilik darjah, kononnya sekolah itu tidak memerlukannya kerana jumlah murid yang agak sedikit,” katanya.

Beliau berkata, kementerian seterusnya mencadangkan enam bilik darjah dibina, manakala JKR turut bertegas hanya mampu membina enam bilik darjah, bilik guru, perpustakaan, kantin dan kemudahan lain dengan peruntukan itu.

“Lagipun, segala proses tender dan pembinaan dilakukan JKR, maka siapa perlu disalahkan, di sini? Kerajaan Negeri atau Kerajaan BN?”

“Daripada empat ekar diberikan kepada sekolah itu, 1.4 ekar lagi adalah tanah milik Kerajaan Negeri. Secara tepatnya, hanya 2.5 ekar sahaja diberikan Syarikat KL Kepong (KLK) sementara bakinya diberikan Kerajaan Negeri,” katanya.

Ganabatirau berkata demikian bagi menyelar kenyataan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, P Punithan, yang mendakwa Kerajaan Negeri membuat janji palsu ekoran isu pembinaan institusi berkenaan.

Terdahulu, Punithan, mencabar Kerajaan Negeri supaya menjawab segala persoalan berkenaan isu tanah seluas 11.68 ekar dan dana RM11 juta untuk pembinaan sekolah dan asrama seperti dijanjikan sejak 2012, dalam tempoh tiga hari.

Dakwanya, misteri kehilangan tanah dan dana yang dijanjikan kepada sekolah itu adalah satu lagi janji palsu Kerajaan Negeri selain turut memberi masa tiga hari kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ganabathirau dan Ahli Dewan Negeri Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar bagi menjelaskan isu terbabit.

Pada masa sama, Ganabatirau berkata, cadangan pembinaan asrama anak peladang Coalfields kini dirancang di atas tanah kerajaan bersebelahan SJK (T) Midlands Seksyen 7, Shah Alam, kerana kawasannya lebih strategik dengan peruntukan disediakan serta tanah 7.68 ekar yang disebut Punithan, masih di bawah Kerajaan Negeri.

“Kami juga mempunyai beberapa cadangan lain di tanah itu yang akan memanfaatkan penduduk India, di Ijok. Jadi, saya meminta pemimpin MIC supaya tidak mempolitikkan isu ini bagi kepentingan sendiri.

“Kalau Punithan mahu bertanding di Ijok, itu hak beliau. Saya juga gembira kerana MIC mengambil berat berhubung pembangunan sekolah Tamil, di Malaysia. Memandangkan pilihan raya umum sudah dekat, maka MIC mula dilamun cinta dengan sekolah Tamil.

“Oleh itu, saya cabar Punithan atau sesiapa di MIC, adakah MIC mampu mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan dan dana daripada perdana menteri untuk membina sekolah Tamil?

“Ia kerana pihak kami sudah kenal pasti tanah seluas lapan ekar di Subang bagi satu cadangan pembinaan sekolah Tamil menengah, di Selangor,” katanya.


Pengarang :