NASIONAL

TI-M minta SPRM diberi ruang siasat kes Wan Ahmad Najmuddin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang secukupnya bagi menjalankan sisatan berhubung kes Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, kerajaan dan semua pihak harus memberi sokongan kepada SPRM bagi memudahkan segala tindakan dilakukan bagi melengkapkan siasatan berkenaan.

“Saya kira untuk berlaku adil, maka kita perlu menunggu sehingga siasatan kes itu diselesaikan SPRM dahulu.

“Daripada situ, penilaian boleh dibuat dan apa tindakan perlu diambil,” katanya kepada media selepas sesi forum demokrasi-Malaysia Menuju Negara Korupsi: Fakta atau Propaganda, di sini, semalam.

Beliau berkata, TI-M sendiri mengikuti dan memantau perkembangan kes berkenaan.

“Kita memantau berhubung kes ini serta mengumpul dan mendapatkan maklumat daripada laporan media juga pihak lain.

“Kita serah kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan dan TI-M akan melihat hasilnya serta menyatakan pendirian,” katanya.

SPRM kini memulakan siasatan terhadap kes Wan Ahmad Najmuddin berkaitan pembekuan akaun berjumlah hampir RM1 juta, di Australia.


Pengarang :