SELANGOR

Dakwaan kecilkan saiz perkhidmatan awam, percubaan terdesak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Dakwaan sesetengah pihak bahawa ada usaha mengecilkan saiz perkhidmatan awam (downsizing the civil service) merupakan pendustaan dan tindakan tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menyebar ‘fake news’ dalam kalangan pegawai Kerajaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyebaran itu turut mahu menanamkan rasa curiga kepada penjawat awam menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Bagaimanapun, katanya, percubaan terdesak itu tidak mempengaruhi kematangan pegawai Kerajaan khususnya Selangor.

“Saya yakin dan berulang kali menegaskan bahawa perkhidmatan awam Negeri Selangor adalah ‘par excellence’ dan menjadi tulang belakang pentadbiran dalam memacu pembangunan dan kemajuan rakyat.

“Hakikatnya, hasil kerja kuat, dedikasi dan komitmen pegawai dan anggota perkhidmatan awam, Selangor berjaya untuk terus mempertahankan kedudukan sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sekali gus, memimpin tatakelola dan integriti dalam pentadbiran. Selangor muncul sebagai gedung kuasa ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 dan Anugerah Jasamu Dikenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Azmin menyifatkan tuduhan itu sebagai tohmahan liar dan meremehkan serta memperbodohkan
(insult to the intelligence of our civil servants) penjawat awam.

“Saya tidak ada sebarang keraguan. Pegawai Kerajaan dan anggota perkhidmatan awam cukup matang, pintar dan bijak untuk membuat penilaian apabila melaksanakan hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan.

“Fakta menunjukkan keadaan yang sebenar. Putrajaya gagal melihat peranan penting dan pengorbanan besar pegawai Kerajaan dalam membangunkan negara sehingga mereka terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos pendidikan, kesihatan serta perumahan,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan kerajaan Umno-BN tidak bercadang untuk mengecilkan saiz penjawat awam daripada 1.62 juta sekarang.

Disebabkan pengisytiharan itu dibuat menjelang pilihanraya maka pengumuman yang dibuat Najib ini boleh ditafsir sebagai rayuan kepada penjawat awam agar jangan memilih untuk menukar bos selepas PRU14.


Pengarang :