SELANGOR

Lebih 500 penyokong iringi calon PAKATAN di Kuala Langat

OLEH NAEEM RAFFI

KUALA LANGAT, 28 APR: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Langat hadir bersama lebih 500 penyokongnya di Dewan Seri Jugra, Telok Datuk, Banting.

Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar yang dahulunya Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis (dahulu dikenali Seri Andalas) bertanding di Parlimen Kuala Langat bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara calon BERSATU, Datuk Hamidi Abu Bakar (DUN Sijangkang); Ahli DAP, Lau Weng San (DUN Banting) serta mengekalkan penyandang daripada calon AMANAH terdahulu, Hasnul Baharuddin bagi DUN Morib.

Kesemua mereka masuk ke dalam dewan bagi menyempurnakan proses penamaan calon sekitar jam 8.50 pagi tadi.

Proses penamaan calon PRU-14 bagi Parlimen Kuala Langat dan DUN bagi Sijangkang, Banting serta Morib bermula pada jam 9 pagi.

Tempoh sejam dibenarkan bagi mengemukakan kertas penamaan calon sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Jusni Hashim mengumumkan nama calon yang bertanding pada PRU-14.

Xavier bertukar daripada kerusi DUN ke kerusi Parlimen Kuala Langat sementara penyandang kerusi Parlimen Kuala Langat untuk dua penggal, Datuk Abdullah Sani pula berpindah ke kerusi Parlimen Kapar.

Untuk Rekod, Xavier memenangi kerusi DUN Seri Andalas dengan majoriti 15,633 undi sekali gus menewaskan empat pencabarnya (1 BN, 3 Bebas) dalam PRU13 lalu.


Pengarang :