PBTSELANGOR

MBPJ lancar aplikasi KAPITA, beri maklumat lokasi Food Truck

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan aplikasi pengurusan Smart Trak (KAPITA) bagi memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan lokasi perniagaan di bawah seliaan MBPJ.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, ketika ini ‘Food Truck’ merupakan trend yang berkembang seiring dengan perkembangan E-Commerce sebagai medium pemasaran, sekali gus menjadikannya popular dan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.

Katanya, sebanyak 25 lokasi Smart Trak dan usahawan terbabit beroperasi seawal jam 6 pagi hingga jam 2 pagi keesokkannya.

“Perniagaan ‘Food Truck’ merupakan perkembangan baru yang menarik perhatian awam dan menjadi pilihan usahawan. Konsep Mobiliti ini memberi kemudahan kepada usahawan untuk bergerak ke lokasi yang menjadi tumpuan.

“Hal ini menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah destinasi tumpuan orang ramai. Ia secara langsung akan merancakkan lagi usaha membangun dan memberdaya usahawan ‘Food Truck’ di Petaling Jaya,” katanya di Majlis Perasmian Sahabat Trak dan Pelancaran KAPITA,” di sini, baru-baru ini.

Pada program itu, MBPJ turut melancarkan Sahabat Smart Trak yang menjalin kerjasama bersama pengusaha-pengusaha ‘Food Truck’.

“Diharap pengusaha ini dapat mematuhi segala peraturan ditetapkan serta memberi kerjasama baik untuk meningkatkan lagi konsep perniagaan trak ini.

“MBPJ tidak akan berkompromi dalam perkara yang ditetapkan pihak MBPJ,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri menjadi negeri pertama melancarkan garis panduan trak bergerak untuk rujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memupuk kesedaran lebih tinggi berkenaan budaya kebersihan kalangan peniaga, penyediaan dan sistem pelupusan betul serta sampah yang minimum.

=EZY=


Pengarang :