BERITA UTAMASELANGOR

Azmin: Sehingga hari ini saya masih Dato’ Menteri Besar Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 19 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sedia melepaskan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor sekiranya beliau diperlukan untuk membantu Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, sehingga kini beliau masih merupakan Dato’ Menteri Besar Selangor sehinggalah beliau bertemu dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau juga mengiktiraf kejayaan di Selangor dijadikan asas untuk memajukan negeri lain yang penting selain Pulau Pinang, Johor dan Selangor

“Saya akan menghadap DYMM Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk membincangkan tugas baru yang dijelaskan PM dan kemudian saya akan memaklumkan secara rasmi tentang kedudukan terkini.

“Sehingga hari ini saya masih Menteri Besar Selangor, sekiranya keputusan dibuat untuk membantu Kerajaan Persekutuan saya akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu perlulah dijalankan dengan teratur dan tertib kerana melibatkan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor dan mandat yang besar diberikan rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Mohamed Azmin berkata, walaupun beliau pernah dimaklumkan berkenaan kedudukannya di Putrajaya sebelum ini tetapi beliau tidak diberikan penjelasan secara terperinci termasuk portfolio yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan Tun Mahathir kepada beliau untuk membantu memulihkan ekonomi negara dan kesemua negeri lain seperti mana beliau membangunkan ekonomi Selangor.

=EZY=


Pengarang :