Keadaan MH17 yang jatuh ditembak di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
GLOBAL

MH17: Parlimen Belanda lulus perjanjian Ukraine

THE HAGUE 14 JUN: Parlimen Belanda semalam meluluskan satu perjanjian yang ditandatangani antara Belanda dan Ukraine bagi memudahkan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan MH17, termasuk membicarakan suspek melalui pautan video.

Bekas Menteri Kehakiman Belanda, Stef Blok menandatangani perjanjian itu dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Pavlo Petrenko pada Julai tahun lalu, tiga tahun selepas tragedi tersebut yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal.

Perjanjian yang diluluskan semalam menetapkan bahawa pendakwaan suspek akan berlaku di sebuah mahkamah Belanda, berkemungkinan besar di The Hague.

Ia juga membenarkan perbicaraan melalui siaran video dan hukuman penjara akan dikenakan di Ukraine jika suspek yang disabitkan tidak boleh diekstradisi ke Belanda.

“Perjanjian ini adalah langkah penting ke arah mencari kebenaran dan mengheret suspek ke muka pengadilan, sekali gus memberi kelegaan kepada keluarga mangsa,” jelas Blok ketika menandatangani perjanjian itu.

Belanda dan Australia bulan lepas menyalahkan Rusia sebagai dalang insiden tersebut.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh dengan peluru berpandu BUK bu­atan Rusia ketika melintasi kawasan dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Walaupun lima negara iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine sedang menyia­sat kejadian itu, majoriti mangsa dalam penerbangan tersebut adalah rakyat Belanda.

Langkah itu dilakukan selepas pasukan penyiasat antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK itu milik pasukan tentera Rusia berpangkalan di barat daya Kursk.

Moscow dengan tegas menafikan penglibatan mereka dan telah memberikan beberapa teori lain yang menuding ke arah Kiev.

SUMBER: AFP

 

 


Pengarang :