Selangorkini
NASIONAL

KPWKM tubuh tabung Palestin depani tekanan AS

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 JUL: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik semula dana sejumlah US$300 juta daripada Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) memberi tekanan kepada lebih 5 juta penduduk Palestin khasnya golongan wanita dan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau menyokong penuh usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Tabung Derma Palestin melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Inisiatif mulia ini sudah tentu bakal menyuntik semangat penduduk Palestin yang amat menghargai bantuan makanan, kebajikan, pendidikan dan keperluan asas.

“Saya turut menyeru warga Malaysia untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan secara terus untuk memastikan sekolah-sekolah seliaan UNRWA di Gaza mampu memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada hari kedua Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 2018 berlangsung di Bangunan Parlimen, semalam.

Nurul Izzah berkata, UNRWA memaklumkan bahawa setiap RM92 yang disumbangkan dapat membantu penyediaan kit persekolahan untuk seorang kanak-kanak pelarian Palestin, RM151 untuk bekalan makanan asas sekeluarga dan hampir RM900 bagi memastikan sebuah keluarga pelarian Palestin mendapat tempat tinggal bagi tempoh sebulan.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan derma masing-masing ke akaun bank Alliance Islamic Bank bernombor akaun 1601-4001-0011-300.


Pengarang :