SELANGOR

MBSA perlu tegas, tidak kompromi isu keselamatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu bertindak tegas terhadap syarikat yang menjalankan kerja kutipan sampah di kawasannya sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar, baru-baru ini.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, hal itu kerana isu keselamatan khususnya membabitkan nyawa tidak boleh dikompromi.

“MBSA perlu bertindak tegas, bukan hanya tamatkan kontrak sahaja.

“Saya terkilan dan sedih kerana isu keselamatan begitu dipermudahkan. Pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, insiden terbabit juga perlu dijadikan iktibar dan membuka mata kepada semua pihak, terutama membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan.

Terdahulu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning menziarahi jenazah arwah adik Nor Syazrina Dania Mohd Nazrul Rafizi di rumahnya, di Seksyen 27.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM500 kepada keluarga mangsa.

Arwah meninggal dunia selepas dilanggar lori sampah yang tertera logo MBSA oleh pemandunya yang juga warga asing.

MBSA sedang mendapatkan maklumat lanjut dari syarikat berkenaan dan tindakan tegas akan diambil.


Pengarang :