SUKANKINI

Syed Saddiq ke Indonesia, pantau keselamatan skuad B-19

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JULAI: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal terbang ke Indonesia, malam ini bagi memastikan kawalan keselamatan terjamin buat skuad bawah 19 tahun negara (B-19).

Ia susulan insiden serangan penyokong Indonesia terhadap skuad negara selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018, di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam mandapat perhatian.

Dalam saingan itu, skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1, sekali gus mengundang rasa tidak puas hati penyokong Indonesia.

Bagaimanapun, pihak tuan rumah Indonesia berjanji memperketatkan kawalan keselamatan ke atas anak buah Bojan Hodak yang dijadual turun beraksi di final menentang Myanmar esok.

“Pihak mereka berjanji perketatkan kawalan keselamatan untuk perlawanan Sabtu ini.

“Saya akan ke Indonesia malam ni dan akan pastikan sebaik mungkin perkara ini tidak akan berulang, khususnya bagi Sukan Asia nanti,” tulis Syed Saddiq di laman twitternya.

Dalam video yang dirakam sendiri Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu.

Pada masa sama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Match Commissioner dan pengadil sebelum mengambil tindakan selanjutnya berhubung insiden itu.

“Susulan insiden itu, saya menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Joko Driyono dan beliau berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan hari ini dan ketika di hotel penginapan,” katanya dalam kenyataan.


Pengarang :