NASIONALPENDIDIKAN

Teater Muzikal Mulan kumpul dana bina makmal komputer

OLEH NADIAH ZAMLUS

KEPONG, 6 JULAI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary bakal menganjurkan pementasan Teater Muzikal Mulan, pada 3 hingga 5 Ogos ini.

Pengetuanya, Chee Poh Kiem berkata, pementasan membabitkan lebih 100 guru dan pelajar itu bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan makmal komputer baru sekolah berkenaan.

Katanya, makmal komputer edia ada tidak mencukupi ekoran penambahan pelajar murid dalam subjek Asas Sains Komputer khususnya.

“Projek pementasan teater ini sudah bermula sejak tahun lalu dan dimulai dengan pemilihan pelakon, justeru kami berharap ia dapat menghiburkan orang ramai yang turut diselangi lakonan, muzik, nyanyian dan tarian.

“Bukan saja boleh berhibur, malah anda dapat membantu pelajar kami dengan penyediaan makmal komputer baru yang lebih canggih dan selesa,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

SMK St Mary mula ditubuhkan pada 1912, sebelum dipindahkan ke tapak sedia ada, pada 1997.

Pada masa sama, Poh Kiem berkata, program mengumpul dana yang dijalankan SMK St Mary bukanlah perkara luar biasa.

“Setiap tahun kami menjalankan projek untuk menjana dana, antaranya Hari Keusahawanan SMK St Mary yang mengumpulkan RM40,000, sementara Larian Cyberthon pula kami berjaya mengumpul kira-kira RM200,000.

“Pada tahun ini, sekali lagi kami menjalankan projek kutipan dana melalui pementasan teater muzikal dan sasaran kami ialah RM130,000,” katanya.

Bagi yang berminat untuk membuat sumbangan, anda boleh salurkan ke Akaun Maybank 512558125497 atas nama PIBG SEKOLAH MENENGAH ST MARY.

Sementara itu, bagi pembelian tiket Teater Muzikal Mulan pula, anda boleh menghubungi Cynthia Wan, 0122016842 atau Prema, 0129899524.

Harga tiket dijual dari RM30, RM50 dan RM100 dengan pementasan di Bishop Ferguson-Davie Hall, SMK St Mary bermula jam 8 hingga 10 malam.


Pengarang :