SELANGOR

Selangor pusat kecemerlangan majukan bidang pertanian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Bukan hanya dikenali negeri maju yang bertunjangkan sektor perkhidmatan dan perindustrian semata, tetapi Selangor juga merupakan hub pendidikan yang boleh dijadikan pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Selangor mempunyai profesional yang terbaik dalam kalangan ahli saintis, bioteknologi, hortikultur dan sebagainya.

“Selangor lebih dikenali sebagai sebuah negeri maju dan bertunjangkan kepada sektor perkhidmatan serta perindustrian sebagai jentera ekonomi sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, Siri Pertama di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Amirudin turut gembira dengan pencapaian Jabatan Pertanian Selangor kerana berjaya mempertahankan pencapaian sebagai Negeri yang paling ramai usahawan tani dan memperolehi persijilan standard myGAP atau Malaysia Good Agricultural Practices selama lima tahun berturut-turut.

“Begitu juga dengan pengiktirafan Selangor sebagai sebuah negeri yang berjaya mencapai pengeluaran nilai hasil tertinggi di dalam Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) seluruh Malaysia iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran nilai hasil dari TKPM yang lain.

“Jabatan Pertanian Selangor juga menerima Anugerah Inovasi Emas 2017 di dalam Projek Veggy Factory iaitu satu konsep penanaman sayuran daun di dalam bangunan tanpa penggunaan cahaya matahari tetapi bergantung kepada kaedah pencahayaan lampu atau ‘artificial light’,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di mana Selangor Fruit Valley (SFV) dianugerahkan Gold Award Agro Tourism Experience Malaysia 2017 oleh Malaysia Tourism Council (TDC) turut membanggakan.

“Kesemua kejayaan ini sesungguhnya tidak hadir dengan sendiri tetapi melalui keazaman dan iltizam untuk mencapainya tanpa mengira rintangan berada di hadapan,” katanya.


Pengarang :