GLOBAL

Ahli politik Australia kritik buli wanita di Parlimen

CANBERRA, 13 SEPT: Tingkah laku “jelik” dan “sikap suka melemahkan serta mematahkan semangat” yang berleluasa di parlimen Australia mendapat perhatian ahli politik Julia Banks, lapor agensi berita China Xinhua.

Bercakap di Dewan Perwakilan Australia pada lewat malam Rabu, Banks berkata, beliau terpaksa berdepan tingkah laku itu yang membabitkan “tindakan membuli, intimidasi (dan) gangguan secara seksual atau sebaliknya” semasa kerjaya singkatnya di parlimen.

Banks pada Ogos mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Chisholm di pinggir bandar yang terletak timur Melbourne dalam pilihan raya akan datang, dengan merujuk kejatuhan bekas Perdana Menteri Malcolm Turnbull sebagai alasan.

Beliau turut memetik tindakan “membuli dan intimidasi” terhadap golongan wanita dalam arena politik sebagai “perkara terakhir yang diingini.”

“Menyusuri perjalanan politik saya, budaya tingkah laku yang menjelikkan ini semakin berleluasa, merebak dan bersifat merosakkan seperti anai-anai,” katanya sambil menambah beliau bersara daripada politik sebagai respons “efektif dan munasabah” terhadap tingkah laku sedemikian yang terpaksa dihadapi.

Banks turut mendedikasikan ucapan beliau kepada golongan yang tidak berada dalam kedudukan untuk bercakap berkenaan gangguan itu kerana bimbang diambil tindakan.

Satu laporan bersejarah dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia, pada Rabu mendedahkan 39 peratus wanita dan 26 peratus lelaki berdepan gangguan seksual di tempat kerja dalam tempoh lima tahun lepas tetapi hanya 17 peratus melaporkan insiden itu.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :